"Abang Long Fadil" Nafi Tutup Kontroversi Dengan Cerita Nak Kahwin


Setelah berjaya meredakan diri seketika dari dilanda gosip panas, nama pelawak, pelakon, pengacara dan rapper, Zizan Razak kembali mewarnai dunia seni.

Jejaka yang sering membuat ramai pihak ketawa itu, Mohd Razizan Abdul Razak, pernah dikaitkan dengan cerita kurang enak apabila dituduh menghantar mesej lucah kepada beberapa wanita selain dikaitkan melanggan pelacur ketika berurusan di negara seberang.

Tak lama sebelum itu, hubungan percintaannya dengan pelakon Emma Maembong turut berakhir manakala cerita pergaduhan dengan bekas pengurusnya, Marina Juki menghangatkan lagi suasana.


Namun, semua itu terus hilang dari radar berita hiburan setelah pelakon filem KL Gangster itu mengumumkan bahawa dia bakal menamatkan zaman bujangnya dengan seorang gadis pilihan senegeri pada Jun 2015.

Berganti Julai dan Ogos, nampaknya perkahwinan yang dikatakan akan dilangsungkan itu tidak juga berlaku. Adakah ia ditangguhkan atau ia hanya dijadikan alasan Zizan untuk menutup pelbagai cerita negatif tentangnya?

Mendapatkan jawapan dari tuan punya badan, Zizan yang kini muncul dengan filem terbaru Polis Evo berkata, setelah melakukan perbincangan dengan ahli keluarga dia mengambil keputusan untuk menarik semula perancangannya untuk berkahwin dua bulan lalu.

“Perkahwinan bukan perkara yang boleh dibawa main-main. Sebelum ini saya buka mulut mahu berkahwin kerana sudah tiba masanya. 

"Tetapi selepas berbincang dengan ahli keluarga, saya tarik semula kenyataan itu,” kata Zizan yang dipetik dari Astro Gempak.

Tambah Zizan, soal tentang pasangannya biarlah menjadi rahsia buat masa ini, dan apabila sudah tiba jodoh kelak, dia akan memberitahu.

"Setakat ini, biar ianya menjadi rahsia keluarga saya. Ada benda saya boleh kongsikan dan ada benda tidak boleh diceritakan.

"Saya tidak mahu perkara tersebut berlaku lagi dan sebagai pengajaran buat diri saya," kata Zizan. -Kedahnews.com