KULIM - Bermula dengan hobi yang suka membaca, membuatkan seorang pesara mengambil langkah menjilid pelbagai koleksi majalahnya mengikut tahun.
Pengumpul majalah lama, Abdul Wahab Bidin, 73, berkata, hobinya mengumpul bahan bacaan itu bermula pada 1970 iaitu ketika dia berumur 26 tahun.
Katanya, bukan hanya majalah berbentuk ilmiah tetapi hiburan, fesyen dan komik seperti Kiblat, Wadah, URTV dan Ujang.
“Saya memang akan kumpul majalah, surat khabar atau buku sama ada beli atau dapat secara percuma. Saya akan baca dari muka depan hingga ke kulit belakang.
“Lama-kelamaan tabiat suka membaca membuatkan rumah penuh dengan bahan bacaan ini dan berselerak, jadi saya terfikir untuk jadikannya koleksi dan lebih kemas.
“Saya mula mengasingkan jenis majalah mengikut tahun, dengan menjilidnya supaya nampak kemas,” katanya kepada Sinar Harian.
Tambahnya, sebahagian ruang di rumahnya diletakkan rak-rak buku yang disusun dengan koleksi majalah lama dan baru yang siap dijilid.
“Kalau datang rumah saya, bahagian depan penuh dengan bahan bacaan, nak majalah apa semua ada dari tulisan jawi dan rumi,” katanya.
Abdul Wahab mengakui walaupun kos untuk menjilid koleksi majalahnya agak mahal hingga mencecah ratusan ringgit namun ia tidak menjadi beban kepadanya.
“Minat mengatasi segalanya, lagi pun mungkin akan berguna satu hari nanti kepada generasi akan datang nak buat rujukan,” katanya.
Selain itu, Abdul Wahab juga turut mengumpul poster, pita kaset dan gambar lama pemimpin serta dijadikan koleksi peribadinya.
“Gambar pemimpin dulu-dulu hitam putih turut disimpan dan dibingkaikan supaya tak rosak,” katanya.
Katanya, dia akan terus mengumpul koleksi bahan bacaan dan dijilid sehingga ke akhir hayatnya.
“Saya gembira bila lihat balik koleksi saya. Anak dan cucu juga sering membaca, jadi saya akan terus kumpul selagi terdaya,” katanya.