Adiba Serik, Tak Mahu Seksi-Seksi Lagi Selepas Ini

Adiba Yunus
Merasakan diri masih baru dalam dunia lakonan, Adiba Yunus, 27, tidak kecewa apabila membuat keputusan enggan berlakon seksi selepas menyedari babak lakonannya berkemban dalam filem Nasi Tangas seperti menimbulkan kontroversi.

Katanya, kesedaran itu datang sendiri tanpa desakan daripada sesiapa. Adiba atau Siti Adibah Yunus berasa dirinya cukup matang dan dewasa untuk lebih berhati-hati dalam pemilihan watak selepas ini.

Padanya, sebagai orang Islam dia harus akur dengan etika dan norma kehidupan yang tidak boleh terlalu ditonjolkan walaupun hanya dalam lakonan yang boleh menimbulkan cerita kurang enak daripada orang ramai.

“Saya sedar terlalu awal untuk membuat keputusan seperti ini. Seharusnya saya perlu terus mencuba untuk melakonkan watak lebih mencabar lagi daripada itu.

“Namun saya yakin, banyak lagi watak mencabar yang boleh saya lakonkan tanpa perlu seksi. Selepas filem Nasi Tangas diulang siar banyak kali di televisyen, saya mula tersedar perkara itu dan mung–kin tidak akan menerima tawaran berlakon watak seksi lagi selepas ini,” katanya.

Adiba berkata, dia sebenarnya bukanlah seorang yang seksi, justeru tidak mahu perkara itu membuat orang salah faham terhadap dirinya.

“Mungkin orang berfikir 27 tahun masih muda lagi, namun tidak pada saya. Saya fikir terlalu jauh dan enggan melakukan perkara yang boleh menimbulkan kontroversi.

“Walaupun filem itu peluang untuk saya mengembangkan bakat kerana berada di luar zon selesa, jika orang sedar saya akan dapat watak yang lebih mencabar daripada itu,” katanya.

Atas kejayaannya melakonkan watak itu selepas lima tahun dalam lakonan, Adiba terpilih antara lima calon untuk kategori Pelakon Harapan Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-27 (FFM27).

Dicalonkan bersama Dawn Cheong, Aisha Hasnaa, Nad Zainal dan Izara Aishah, Adiba menganggap itu juga usaha pengarah dan kru produksi terbabit.

Katanya, dia tidak meletakkan sebarang harapan kerana sedar pesaing yang lain tidak kurang hebatnya.

“Alhamdulillah, sangat bersyukur dicalonkan untuk kategori berkenaan. Penghargaan buat saya kerana ada yang sudi melihat hasil kerja keras saya selama ini.

“Sesiapa pun apabila dicalonkan pasti mengharapkan kemenangan. Namun saya tidak kisah menang atau kalah kerana itu rezeki masing-masing.

“Menjadi calon top 5 sudah cukup besar maknanya buat saya. Bagi saya, pencalonan ini juga kerana watak saya dalam filem Nasi Tangas yang memberi kesan kepada juri FFM27 yang memilih.

“Saya tidak nafikan ada kekuatan terhadap watak saya dan jalan cerita filem ini. Bukan senang untuk berada sehingga ke tahap ini dan apabila ada yang melihat filem itu dan memberi pengiktirafan bermakna kerja keras saya berhasil,” katanya.

Meskipun masih baru, Adibah berharap terus diberi peluang melakonkan watak yang lebih mencabar dan di luar kemampuannya.

“Saya tahu masih ramai belum sedar kehadiran saya dalam lakonan. Melalui pencalonan FFM27, orang ramai akan lebih buka mata dan memberi peluang saya berlakon pelbagai watak.

“Sebelum ini saya lebih terdedah dengan watak ringan dan komedi, apabila diberi watak mencabar seperti dalam Nasi Tangas rasa berdebar juga namun syukur kerana lakonan itu saya dicalonkan.

“Sebagai pelakon yang memang fokus dalam bidang ini, saya sentiasa memberikan yang terbaik dan sepenuh penghayatan terhadap watak yang saya jayakan. Justeru, berharap akan terus diberi peluang dengan pelbagai watak yang lebih mencabar lagi.

“Saya ikhlas dengan kerja yang saya lakukan, tercalon dalam anugerah buat pertama kalinya selepas lima tahun berlakon satu rahmat besar buat diri saya dan ia juga satu semangat untuk saya melakukan yang lebih baik lagi pada masa akan datang,” katanya.

Kata Adibah, dia kini berdebar menantikan tayangan filem baru lakonannya, Badi. Dia juga baru selesai menjalani penggambaran telefilem Kalau Dah Cinta arahan Hashim Rejab untuk Hypp TV. Ia turut dijayakan Azwan Kombos, Nina Iskandar dan DJ Nas-T.


Sumber: myMetro