Ahmad Bashah Harap Tidak Salah Guna Bantuan Yang Diberi

Ahmad Bashah menyampaikan duit raya kepada pelatih PDK.
KUALA KEDAH - Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Teluk Chengai, Jalan Kuala Kedah, dekat sini menerima bantuan kewangan sebanyak RM3,000 untuk kegunaan mereka.

Bantuan berkenaan disampaikan Timbalan Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, semalam.

Ahmad Bashah berkata, dia mengharapkan pihak berkenaan menggunakan peruntukan kewangan daripada kerajaan persekutuan kepada PDK terpilih berkenaan sebaik mungkin.

“Sebaik-baiknya wang berkenaan digunakan untuk aktiviti pelatih seperti program, lawatan dan kemudahan mereka,” katanya pada Majlis Jamuan Raya PDK Teluk Chengai.

Malah katanya, beberapa PDK di kawasan berkenaan sudah menerima bantuan kewangan, oleh itu mana-mana PDK memerlukan bantuan boleh membuat permohonan.

Manakala, penyelia PDK Teluk Chengai, Nuraini Paharolrozi berkata, pihak mereka sememangnya tidak menyangka akan menerima bantuan kewangan itu.

Untuk itu katanya, bantuan kewangan berkenaan akan digunakan sebaiknya untuk keperluan kira-kira 58 pelatih berusia lima hingga 30 tahun di PDK berkenaan.

Sumber: Sinar Harian