JAKARTA – Jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei terus kempunan dalam usahanya merekodkan gelaran sulung Kejohanan Badminton Dunia apabila tewas kepada bintang sensasi China, Chen Long dari China 14-21, 17-21 dalam aksi final di Stadium Tertutup Istora Senayan, di sini, sebentar tadi.
Penampilan kali keempat di pentas final masih belum membawa tuah buat Chong Wei yang sekali lagi terus berpuas hati dengan gelaran naib juara.
Sebelum ini, pemain berusia 33 tahun merekodkan tiga gelaran naib juara iaitu pada 2011 di London, 2013 di Guangzhou dan 2014 di Copenhagen (ditarik balik kerana kes doping).
Bagi Chen Long, kemenangan ke atas Chong Wei menyaksikan dia berjaya mempertahankan kejuaraan dimenanginya pada edisi 2014 di Copenhagen selepas turut menundukkan Chong Wei di pentas final. – Berita Harian