Pusat membeli belah Aman Central, Alor Setar akan dibuka kepada umum mulai 1 Oktober ini. Ianya dibina di Lebuhraya Darulaman iaitu bertentangan dengan Menara Alor Setar. - Foto Bernama |
ALOR SETAR - Pusat Beli-Belah Aman Central dengan nilai pembangunan kasar RM500 juta akan dibuka pada 1 Oktober ini.
Pengarah Urusan Belleview Group, Datuk Sonny Ho berkata, pusat beli-belah itu dijangka menarik pelanggan bukan sahaja dari Kedah, tetapi juga Perlis dan selatan Thailand.
Beliau yakin, pusat beli-belah itu yang terletak bertentangan Menara Alor Setar, akan menjadi destinasi runcit, makan malam dan hiburan untuk penduduk di utara Malaysia dan selatan Thai.
"Kami sedang menjalankan pelbagai promosi sebelum pembukaan di selatan Thai bagi memastikan Pusat Beli-Belah Aman Central dan Menara Alor Setar menjadi daya tarikan utama pelancong di Kedah.
Aman Central juga akan menempatkan banyak jenama yang pertama di Kedah seperti H&M, Uniqlo, Guess, Padini, Starbucks, Pandora, Baskin Robbins dan banyak lagi tanpa melupakan peniaga tempatan, katanya.
"Tarikan utamanya ialah Aman Walk, kawasan tempat duduk terbuka dua tingkat dengan pemandangan Menara Alor Setar yang cantik dan menakjubkan," katanya.
Pusat beli-belah itu, katanya, akan mempunyai zon khas dipanggil kedai mini bagi menempatkan 60 peniaga tempatan dan semuanya sudah ditempah. - Bernama