Amerika Mula Guna Jet Pejuang Pengkalan Turki Gempur Militan IS Di Syria

JET pejuang F-16 mendarat di Pangkalan Udara Incirlik, Turki. - Foto Reuters
ANKARA – Jet pejuang AS pada Rabu mula melancarkan serangan udara terhadap sasaran Negara Islam (IS) di Syria dari pangkalan udara Incirlik, Turki.

Serangan itu menandakan kempen serangan terbaharu terhadap IS daripada pangkalan di Turki selepas persetujuan dicapai dengan kerajaan negara itu bulan lalu, sekali gus membolehkan serangan dibuat menggunakan pesawat kendalian juruterbang berbanding pergantungan kepada dron sebelum ini.

Turki kini berhadapan dua kumpulan militan iaitu IS di Syria dan Parti Pekerja Kurdistan (PKK) di utara Iraq yang kini semakin kerap menyelinap masuk dan melakukan serangan di Turki.

Akan tetapi ketika ini, serangan udara dari Tukri lebih tertumpu kepada pemberontak Kurdish, sekali gus agak mengecewakan AS yang mahu pembabitan lebih besar Turki menggempur kedudukan IS.

Penggunaan pangkalan udara Incirlik, tidak jauh dari bandar Adana di selatan Turki, memendekkan jarak penerbangan jet pejuang AS untuk terbang ke utara Syria berbanding tapak serangan sebelum ini yang lebih jauh.

“Hari ini, AS mula menggunakan pesawat pejuang kawalan juruterbang menggempur tapak IS daripada Pangkalan Udara Incirlik, Turki,” kata jurucakap Pentatagon, Komander Elissa Smith dalam satu kenyataan. – AFP