"Anak-Anak Mu Adalah Penduduk-Penduduk Kecil Syurga..."

BUKAN semua pasangan yang berkahwin dikurniakan zuriat. Selain ia adalah amanah Allah, anak-anak juga adalah kurnia paling berharga selepas iman dan Islam. Anak adalah antara faktor yang mendekatkan diri kita kepada Allah dan Rahmat-Nya.

Ini sebagaimana hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: 
"Anak-anakmu adalah penduduk-penduduk kecil syurga". (Riwayat Bukhari dan Muslim). 
Anak juga adalah terhasil daripada rasa kasih dan cinta melalui hubungan suami isteri yang disebut dalam al-Quran sebagai perhiasan di dunia ini.

Malangnya, masih ada dalam kalangan ibu bapa dan masyarakat yang tidak faham akan nikmat kurniaan Allah ini. Sehinggakan mereka tergamak mendera anak masing-masing. Kes dera di Kuala Terengganu melibatkan penderaan kanak-kanak berusia empat tahun, Isnin lalu.

Kelmarin, dua beradik berusia lapan dan lima tahun didera ibu tiri di Jelutong, Pulau Pinang dengan menggunakan lesung batu sehingga lebam di mata. Pada 4 Ogos lalu, seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun maut di Ampang, Selangor dipercayai didera teman lelaki ibunya.

Membaca kes-kes begini, menimbulkan pertanyaan di mana letaknya kasih sayang yang Allah limpahkan dalam diri individu terbabit. Ikutkan hati, mahu sahaja kita ikat individu yang mendera itu di tengah padang dan orang ramai pakat bagi pelempang atau luku kepala sekali seorang.

Bukan tidak boleh memukul bertujuan mendidik anak tetapi ia perlu bersebab dan tidak berlebihan. Anak-anak bukan tempat melepaskan kemarahan (punching bag) ibu bapa.


Anak-anak mangsa dera akan terkesan jiwa mereka. Mereka akan menjadi orang yang kacau bilau jiwanya, merasa rendah diri dan serba kekurangan. Selain itu, mereka juga berkemungkinan mewarisi sifat keras hasil penderaan dan mempraktikkannya kepada orang lain pada masa akan datang.

Dalam hal memukul anak, Imam al-Ghazali berkata, sebelum dipukul biarlah anak itu diberi peluang memperbaiki dirinya dan ibu bapa perlu banyak bersabar. Jika dia masih melakukannya biarlah dia diajar secara tersembunyi.

Jika dia masih terus membuat kesalahan, hukumlah dia secara sembunyi supaya orang lain tidak tahu dan tidak memalukannya di depan orang ramai. Akhirnya, jika masih tidak berubah, pukullah dia.

Kepada mereka yang tidak menyayangi anak-anak, ingatlah pesan Rasulullah SAW yang bermaksud: 
"Bukanlah daripada golongan kami orang yang tidak menyayangi kanak-kanak dan yang tidak mengetahui kemuliaan orang tua". (Riwayat at-Tirmidzi).
Dalam usaha mengekang perbuatan dera ini, masyarakat perlu memainkan peranan ‘menjaga tepi kain’ orang lain. Laporkan kepada pihak berkuasa jika mendapati jiran tetangga kita melakukan penderaan ke atas anak-anak mereka. Ini juga termasuk dalam bekerjasama melakukan kebaikan dan mencegah kemungkaran.

Kepada ibu bapa, contohilah kasih sayang yang dipamerkan oleh Nabi SAW. Baginda pernah mendukung cucunya Umamah binti al-‘Ash semasa solat. Ketika bangkit baginda mendukungnya dan apabila sujud, baginda meletakkannya.

Demikian juga apabila cucu baginda Saidina Hasan dan Husein yang menunggang belakang Nabi SAW ketika baginda solat (sujud). Nabi SAW memanjangkan solat baginda supaya kedua-duanya puas menunggang dan tidak jatuh.

Kebahagiaan hidup di dunia adalah bermula di rumah yang selalu kita sebut rumahku syurgaku. Rumah tangga yang bahagia akan melahirkan masyarakat yang bahagia. Masyarakat bahagia akan melahirkan negara yang sejahtera, insya-Allah.

Sumber: Utusan