Anggota Polis Trafik Cedera Di Kepala Terhumban Dirempuh Mat Rempit


Seorang anggota polis trafik dilaporkan terpelanting setelah menjadi mangsa dirempuh oleh seorang Mat Rempit dalam satu operasi pihak berkuasa membuat sekatan jalan raya di jalan Batu 10, Kajang, kira-kira 11.45 pagi semalam.

Mangsa, Mohd Johari, 29, cedera di belakang kepala dan luka di badan akibat rempuhan kuat suspek yang cuba melarikan diri setelah ditahan.

Memetik laporan Metro Harian, Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Willey Richard berkata, rempuhan itu menyebabkan suspek turut terjatuh dan cedera.

Menurutnya, anggota trafik terbabit tidak sempat mengelak berikutan suspek menunggang laju.

“Mangsa yang tertiarap di jalan raya dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM). Keadaannya kini dilaporkan stabil,” katanya.

Susulan kejadian itu polis menahan penunggang motosikal berusia 25 tahun untuk siasatan lanjut.

Willey berkata, semakan rekod jenayah lampau mendapati suspek mempunyai rekod bersabit kesalahan cubaan samun. -Kedahnews.com