Anggota Rela Di Mahang Maut Disambar Petir Lepas Jala Ikan

Jenazah dibawa ke Tanah Perkuburan Kampung Ulu Mahang untuk disemadikan. Gambar kecil, Allahyarham Nasri.
MAHANG - Seorang anggota Rela, Nasri Osman, 45, maut  disambar petir di kawasan lapang Kuala Dingin, di sini, baru-baru ini.

Mangsa yang menunggang motosikal sendirian dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah selepas menjala ikan bersama anak sulungnya dan empat lagi saudaranya di Sungai Dingin.

Saksi yang juga sepupu mangsa, Nurul Hafidah Fitri Abu Bakar, 23, berkata, mangsa tidak pernah sekali pun menyertai dia dan kakaknya, Noraniza Abu Bakar, 26, ke sungai untuk memancing mahu pun menjala ikan.

"Tapi semalam (kelmarin) arwah kata nak ikut, malah, dia ajak kami ikut dia ke kawasan sungai yang ada banyak ikan seperti yang diberitahu anak sulungnya. Kami pergi berenam kira-kira jam 3.30 petang menaiki motosikal," katanya.

Sementara itu, Noraniza berkata, mangsa sempat menjala dan memperoleh beberapa ekor ikan sebelum cuaca bertukar mendung, diiringi guruh serta petir.

"Sejam juga kami di sungai, hari makin mendung, bunyi guruh dan petir. Jadi, saya ajak semua pulang dan cadangkan jalan pintas untuk sampai cepat ke rumah dan arwah akur tanpa kata apa-apa.

"Saya naik motosikal di depan sekali dan jalan yang kami lalui memang lapang, tak ada pokok. Saya kerap toleh ke belakang supaya mereka tak tertinggal," katanya.

Menurutnya, dalam perjalanan pulang tiba-tiba ada guruh dan petir menyebabkan adiknya, Nurul Hafidah Fitri terkena renjatan hingga kebas separuh badan sebelum dentuman kedua meragut nyawa Nasri.

"Dua kali bunyi guruh berserta kilat, kali pertama tak kuat sangat, tapi yang kedua memang kuat dan masa itu saya dengar anak sulung arwah menjerit.

"Saya tengok Nasri sudah jatuh motosikal dan kami terus mendapatkan mangsa yang jatuh tersembam.

"Masa kami sampai, bahagian kepala arwah masih berasap dan rambutnya menjadi abu.

"Saya sempat pesan kepada yang lain supaya tak sentuh mayat sebab takut perkara buruk lain jadi," katanya.

Difahamkan, separuh badan mangsa melecur dan lebam.

Mangsa meninggalkan seorang balu dan empat anak lelaki yang masih bersekolah.

Jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Ulu Mahang,  jam 11.30 pagi, kelmarin.

Sumber: Sinar Harian