KULIM - Seorang anggota tentera maut apabila kereta dipandu terbabas sebelum dirempuh sebuah kereta Proton Saga dari arah bertentangan di hadapan pejabat Pasukan Gerakan Khas, dekat Junjung, kelmarin.
Mangsa, Mohd Yahya Abu Osman, 22, dipercayai ingin pulang ke kampungnya di Kampung Air Putih di sini, dengan menaiki kereta Perodua Kancil namun tidak kesampaian apabila terlibat dalam kemalangan kira-kira jam 4 petang.
Bagaimanapun seorang lagi mangsa, berusia 30 tahun dipercayai dari Sungai Ular untuk ke Junjung masih diberi rawatan di hospital akibat cedera parah.
Menurut sumber, mangsa yang memandu Perodua Kancil terbabas akibat hujan lebat dan masuk ke laluan bertentangan sebelum dirempuh kereta Proton Saga.
“Mangsa dipercayai baru saja melangsungkan pertunangan pada Ahad lalu dan merancang untuk melangsungkan perkahwinan tidak lama lagi,” katanya.
Dalam pada itu, Pegawai Bomba Kanan II, Krishnan Naidu berkata, pihaknya menerima panggilan orang awam kira-kira jam 4.10 petang dan tiba di lokasi kejadian kurang daripada 10 minit.
“Ketika di lokasi kejadian anggota bomba mendapati seorang mangsa iaitu pemandu Perodua Kancil berada di tempat duduk sebelum dikeluarkan begitu juga pemandu Proton Saga.
“Bagaimanapun, pemandu Perodua Kancil didapati meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu Proton Saga cedera parah, dan kedua-dua mangsa dibawa ke hospital untuk tindakan lanjut. Ketika itu hujan baru berhenti,” katanya.
Sumber: Sinar Harian