Anonymous Malaysia Cetus Panik, Ancam Mahu Serang Laman Web 29 Ogos Ini

Anonymous Malaysia
Sebuah kumpulan yang menggelar pertubuhan mereka sebagai ‘Anonymous Malaysia’ telah mencetus panik di kalangan warga netizen apabila memuat naik sebuah video yang mengancam Kerajaan Malaysia dan mengisytihar perang terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dimuatnaik menerusi laman sosial Facebook rasmi kumpulan tersebut pada 4 Ogos lalu, kumpulan tersebut mengisytiharkan perang internet berkenaan akan dilancarkan pada 29 hingga 30 Ogos ini, bermula 6 petang hingga 5 petang keesokannya.

Kumpulan itu turut memberi amaran bahawa serangan yang akan dibuat itu selaras dengan demonstrasi Bersih 4.0 yang dijangkakan berlaku pada tarikh sama dan mensasarkan beberapa laman web kerajaan sebagai mangsa serangan.

Antara laman web berkenaan adalah termasuk portal rasmi Perdana Menteri, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Polis Diraja Malaysia serta 150 portal web yang terpilih.

Kumpulan penggodam itu memberi alasan untuk menyerang pentadbiran Najib dengan sebab kononnya telah membawa Malaysia ke ambang kejatuhan selain menyalahkan Perdana Menteri itu terhadap kejatuhan ekonomi serta rasuah.

Selain itu, video berkenaan juga menyatakan Najib kononnya gagal membalas tuduhan berhubung isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) selain insiden lain seperti rusuhan di Plaza Low Yat serta kebakaran di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

Reaksi balas berhubung ugutan berkenaan, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) menggesa organisasi di bawah Infrastruktur Maklumat Kritikal Negara (CNII) memperkukuhkan sistem pertahanan siber i masing-masing.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Madius Tangau berkata, Mosti bertanggungjawab memastikan keselamatan ruang siber negara selamat dan terhindar daripada ancaman siber.

“Organisasi CNII diingatkan menaik taraf sistem komputer dan ‘patch’ keselamatan," katanya yang dipetik dari Sinar Harian.

Madius berkata, Mosti melalui Cyber Security Malaysia dan Mimos Berhad sentiasa berusaha dan bertindak proaktif menangani isu berkaitan. -Kedahnews.com