Gambar Hiasan |
Wujud pertikaian pendapat tentang yaqazah Nabi SAW. Bagaimana sikap kita dalam menangani isu ini?
JAWAPAN:
Istilah yaqazah merujuk kepada perbuatan seseorang yang melihat Nabi SAW dalam keadaan jaga.
Dalam riwayat hadis, ada disebutkan beberapa hadis. Antaranya sabda Nabi SAW yang bermaksud:
“Sesiapa yang melihat daku dalam mimpi maka dia akan melihat daku dalam keadaan jaga.”
Para ulama bersepakat bahawa harus melihat Nabi SAW dalam mimpi. Maka jika ada insan mendakwa bahawa beliau bermimpi bertemu dengan baginda SAW atau bermimpi melihat Nabi SAW, kita yakin ia harus berlaku. Cuma dakwaan insan tersebut mungkin benar dan mungkin sekadar pembohongan sahaja.
Maka kita melihat peribadi, watak dan akhlak insan tersebut. Jika insan tersebut baik,tidak pernah meninggalkan solat fardu, rajin solat sunat, rajin bersedekah dan sebagainya maka insan tersebut mungkin bercakap benar.
Jika kaki minum arak yang mendakwa bermimpi melihat Nabi SAW, maka kita wajar curiga. Jika insan seperti Abu Lahab atau Musaylamah al-Kazzab, kita mesti curiga.
Dalam isu melihat Nabi SAW secara jaga atau bukan dalam mimpi, nampaknya ada perbezaan pendapat dalam kalangan ijtihad para ulama. Ada pendapat ulama yang mengharuskan dan ada pendapat ulama yang menolak.
Hadis bahawa seseorang akan melihat Nabi SAW secara yaqazah mempunyai beberapa tafsiran. Bagi golongan ulama yang menerima yaqazah, mereka berhujah dengan zahir hadis ini. Manakala, bagi golongan ulama yang menolak yaqazah, mereka berhujah bahawa maksud hadis ini adalah untuk insan yang hidup pada zaman Nabi SAW. Ada juga yang berhujah bahawa yaqazah ini berlaku di akhirat nanti.
Dalam hal ini, kita berlapang dada menerima perbezaan pendapat. Cuma kita tidak dapat memastikan kesahihan dakwaan seseorang bermimpi berjumpa dengan Nabi SAW atau melihat secara jaga. Mungkin juga diperlihatkan oleh Allah SWT kepada seseorang.
Kita tidak perlu menuduh orang sebagai sesat hanya kerana menerima yaqazah atau menolak yaqazah. Yaqazah tidak membuktikan apa-apa kehebatan bagi seseorang. Al-Quran tidak memberi fokus kepada yaqazah.
Begitu juga riwayat hadis tidak memberi fokus kepada yaqazah. Jika kita yakin kita mendapat yaqazah, simpanlah ia sebagai satu kenangan dan pembakar semangat untuk terus berjuang dan berdakwah, bukan menjual cerita kita.
Sumber: Utusan