Arahan Larang Sekolah Sertai Sambutan Hari Kebangsaan Di Pulau Pinang Kekal

Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid (kanan) pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Koperasi Felda Lubok Merbau Kedah Berhad kali ke-36 di Dewan Petunas Lubok Merbau hari ini. - Foto BERNAMA
PADANG TERAP – Arahan larangan kepada semua sekolah di Pulau Pinang daripada menyertai sambutan Hari Kebangsaan Ke-58 anjuran kerajaan negeri adalah kekal sehingga sebarang keputusan dimaklumkan kelak, kata Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzhir Khalid.

Pada masa yang sama beliau berkata tidak elok isu percanggahan berkaitan tema Hari Kebangsaan berlaku antara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan.

Kerajaan negeri pimpinan DAP dilapor antara lain akan turut menggunakan tema ‘Bersih’ bagi sambutan Hari Kebangsaan 2015 sementara tema sambutan yang ditetapkan kerajaan persekutuan untuk disambut di seluruh negara ialah ‘Sehati Sejiwa’.

“Tahun ini temanya ialah Sehati Sejiwa, jadi kita patut ambil persetujuan tanpa mengira latar belakang politik untuk menyambut Hari Kebangsaan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Koperasi Felda Lubuk Merbau Kedah Bhd di sini hari ini.

Beliau menyarankan agar kerajaan negeri Pulau Pinang mencontohi negeri yang juga dipimpin pembangkang seperti Kelantan dan Selangor yang turut menggunakan tema Sehati Sejiwa.

Mahdzir ditanya mengenai langkah Jabatan Pendidikan Pulau Pinang yang telah mengeluarkan Surat Pekeliling yang mengarahkan semua sekolah di negeri itu supaya tidak menyertai sebarang sambutan dan perarakan Hari Kebangsaan anjuran kerajaan negeri sehingga mendapat arahan selanjutnya dari Kementerian Pendidikan.

Pada majlis itu, beliau yang juga Anggota Parlimen Padang Terap mengumumkan beberapa peruntukan untuk sekolah di Felda Lubuk Merbau termasuk RM80,000 untuk Sekolah Menengah Kebangsaan Lubuk Merbau, RM250,000 bagi kerja pembaikan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan Lubuk Merbau dan RM10,000 untuk Sekolah Kebangsaan Lubuk Merbau. – BERNAMA