Arahan Tukar 2 Pengarah SPRM Ke JPM Dibatalkan, Kembali Bertugas Hari Ini

Pengarah Operasi Khas SPRM, Datuk Bahri Mohamad Zin
Arahan kepada dua orang pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang ditukarkan ke Jabatan Perdana Menteri (JPM) sebelum ini telah dibatalkan sekaligus menyaksikan mereka kembali ke jawatan asal masing-masing berkuat kuasa hari ini.

Pembatalan pertukaran Pengarah Operasi Khas SPRM, Datuk Bahri Mohamad Zin dan Pengarah Komunikasi Strategik, Datuk Rohaizad Yaakob itu disahkan sendiri oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa dalam satu kenyataan akhbar.

Dalam kenyataan sama, beliau turut menyatakan bahawa keputusan tersebut diambil setelah pertemuan diadakan dengan kedua-dua pengarah berkenaan, baru-baru ini.

Dalam pertemuan yang turut dihadiri Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam itu, kedua-dua mereka telah memberikan penjelasan tentang tindakan mengeluarkan kenyataan kepada media.

“Susulan dengan penjelasan tersebut, saya telah membuat keputusan membatalkan pertukaran kedua-dua pegawai ke JPM dan kembali ke jawatan masing-masing di SPRM berkuatkuasa pada 10 Ogos 2015,” kata Ali yang sebelum ini bertanggungjawab mengeluarkan arahan pertukaran tersebut.

Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik SPRM, Datuk Rohaizad Yaakob
Pada Jumaat lalu, kedua-dua mereka telah ditukarkan ke JPM berkuatkuasa serta-merta dan arahan tersebut dipercayai berkaitan dengan siasatan polis terhadap pegawai-pegawai SPRM mengenai kebocoran maklumat.

Keputusan Ketua Setiausaha Negara itu mencetus kontroversi apabila ramai pihak, khususnya parti politik pembangkang menabur tohmahan kononnya arahan tersebut adalah keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak. -Kedahnews.com