Kami tumpang gembira bercampur terharu melihat kebahagian yang dipamerkan keluarga Ashraf Muslim, terutama kedua isterinya yang bermadu dan masing-masing sedang berbadan dua.
Semua maklum bahawa penerbit dan aktor kacak ini bakal menimang dua cahaya mata pada tahun ini apabila kedua-dua isterinya sedang hamil.
Difahamkan, isteri pertamanya Noor Dayana Lokman kini sedang mengandung empat bulan manakala, isteri keduanya Wan Sakinah pula sedang menanti masa untuk melahirkan anak kedua.
Bersyukur dengan pemberian Ilahi, Ashraf dilihat memuat naik gambar kedua-dua isterinya di laman Instagram dengan kapsyen memohon doa agar proses bersalin isteri-isterinya dipermudahkan dan berjalan dengan lancar.
“Alhamdulillah.. Hanya hatiku yg tahu betapa bersyukurnya aku pada Allah dengan setiap kehendakNya. Hanya SABAR yg mengajar erti kehidupan yang lebih bermakna.
“Ya Allah Ya Tuhanku, ampunilah dosa isteri-isteriku, tenangkanlah hati mereka setiap masa, jangan sesekali beri mereka kesakitan semasa, sewaktu dan selepas melahirkan anak, janganlah ada komplikasi pada mereka, permudahkan segala urusan, lindungilah mereka dalam apa jua keadaan, lahirkanlah anak kami sihat tubuh badannya, sempurna sifatnya, baik akhlaknya dan hidupnya kelak hanya untukMu Ya Allah,” tulis Ashraf.
Berdasarkan gambar tersebut, jelas sudah kelihatan baby bump Dayana dan Sakinah yang sedang sarat hamil.
Perkongsian gambar tersebut sekali gus menarik perhatian ramai yang sebelum ini teruja dengan berita kehamilan Dayana yang hamil anak sulung setelah sekian lama menanti.
Pastinya, ini merupakan detik-detik bahagia dan menggembirakan buat Ashraf Muslim sendiri.
Semoga Ashraf Muslim akan terus berlaku adil kepada Noor Dayana dan Wan Sakinah sehingga akhir hayat mereka.