Australia Pula Sahkan Serpihan Di Pulau Reunion Milik #MH370

CANBERRA – Pusat Penyelarasan Agensi Bersama Australia (JACC) akhirnya mengesahkan bahawa bahagian sayap pesawat dikenali sebagai flaperon yang ditemui di Pulau Reunion milik Perancis ialah berasal dari MH370.
“Pemeriksaan seterusnya menunjukkan bahawa dalam semua kemungkinan, serpihan, bahagian sayap dikenali sebagai flaperon, ialah dari pesawat penerbangan MH370,” kata JACC dalam satu kenyataan rasmi pada Rabu.
Pada 29 Julai lepas, kepingan sayap pesawat itu ditemui di pantai Pulau Reunion oleh petugas pembersihan pantai dan kemudian segera dihantar ke sebuah makmal ketenteraan di Perancis untuk analisis yang lebih lanjut.
Namun pada 6 Ogos, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak mengesahkan bahawa bahagian flaperon yang ditemui hanyut itu ialah sebahagian daripada komponen pesawat MAS berkenaan.
Sebuah pesawat MAS terbang di sebuah pulau di Lautan Hindi. – Gambar hiasan
Penerbangan Malaysia Airlines MH370 hilang daripada imbasan radar pada 8 Mac 2014 setelah berlepas dari KLIA Sepang bersama-sama 239 penumpang dan anak kapal, antara mereka ialah 154 penumpang warga China.
Mengenai perkembangan terkini operasi mencari bangkai MH370, JACC berkata Fugro Discovery, sebuah kapal pencarian pesawat nahas sudah pun tiba di Lautan Hindi dan memulakan operasi pada awal Rabu.
“Fugro Equator tiba di Fremantle, Australia pagi tadi (Khamis) untuk operasi rutin iaitu mengisi semula bekalan dan akan berlepas semula ke kawasan pencarian lewat hari ini,” kata JACC yang dipetik agensi Bernama.
Sementara itu, Menteri di Pejabat Presiden Maldives, Mohamed Shareef dipetik oleh agensi berita AFP sebagai berkata tiga pakar penerbangan dari Malaysia telah mula memeriksa serpihan yang dijumpai di pulau itu.
Sebahagian panorama unik kepulauan Maldives. – Gambar hiasan
Pemeriksaan bermula sejak Rabu lalu untuk menentukan sama ada ia memang bangkai daripada pesawat MH370 dengan diketuai oleh Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam, Datuk Azharuddin Abdul Rahman.
Pasukan Malaysia itu sudah menemui pihak berkuasa tempatan Maldives di ibu kota Male dan dibenarkan memeriksa serpihan berkenaan selepas tiba di pulau peranginan di Lautan Hindi tersebut pada Selasa lalu.
Mohamed Shareef memberitahu AFP bahawa pakar-pakar tersebut akan kembali ke Malaysia pada lewat Rabu sebelum melaporkan kepada Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai. – Agensi