Azmin Mungkin Mansuhkan Skim Pemberian Air Percuma Yang Dilaksana Khalid?


KUALA LUMPUR – Gara-gara kenyataan Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali mengkaji semula pemberian air percuma 20 meter padu pertama untuk semua pengguna air domestik di Selangor, tercetus persoalan tentang kemungkinan skim pemberian air percuma bakal dimansuhkan.

Cadangan Azmin itu turut disokong oleh Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) di mana Pengerusi Eksekutifnya, Tan Sri Rozali Ismail berkata, jumlah kos yang ditanggung oleh kerajaan Selangor bagi melaksanakan skim pemberian air percuma itu mencecah RM120 juta setahun sejak ia dimulakan pada Julai 2008.

“Bagi pihak saya, skim ini tidak mencapai matlamat atau sasaran kerana golongan miskin yang amat memerlukan bantuan ini seolah-olah tidak diutamakan apabila golongan kaya juga menikmati faedah yang sama.

“Ini kerana masih terdapat rungutan rakyat miskin yang tidak mendapat manfaat daripada skim ini,” katanya dalam satu kenyataan media semalam.


Rozali berkata, jumlah kos yang tinggi yang ditanggung oleh kerajaan Selangor bagi melaksanakan skim air percuma itu boleh disalurkan untuk membiayai lain-lain kemudahan bagi tujuan meringankan beban sara hidup golongan miskin rakyat negeri itu.

“Pada saya, apa-apa perkara yang tidak mencapai sasaran di dalam manifesto boleh diubah atau dipinda demi kepentingan dan kebajikan rakyat,” katanya.

Beliau turut menyatakan sokongan ke atas usaha kerajaan Selangor untuk mengkaji semula struktur tarif air yang sedia ada dengan mengambil kira kos operasi pemprosesan dan pengagihan air terawat yang meningkat setiap tahun.

“Pada masa ini, pelarasan tarif air yang baharu telah dilaksanakan di beberapa negeri lain di Malaysia iaitu Kedah, Sabah dan Pulau Pinang dan yang terkini adalah Johor.

“Oleh itu, adalah amat wajar bagi tarif air di Selangor dikaji semula bagi mengekalkan dan mempertingkatkan tahap kualiti perkhidmatan bekalan air terawat kepada pengguna,” katanya. -Kedahnews.com