Banduan Penjara Pokok Sena Terima Pengampunan DiRaja: "Bagai Mati Hidup Semula"


ALOR SETAR - Seorang bekas banduan seumur hidup atas kesalahan membabitkan senjata api menyifatkan peluang dibebaskan dari Penjara Pokok Sena umpama mati hidup semula.

Lelaki hanya ingin dikenali sebagai Mat, 52, berkata, dia dihukum penjara seumur hidup selepas melakukan satu rompakan senjata api pada 1988 di Alor Setar.

“Ketika itu saya masih muda dan mudah terikut-ikut dengan rakan-rakan sehingga mengambil jalan mudah melakukan jenayah tersebut.

“Saya ambil dadah dan ubat batuk kerana terpengaruh dengan ajakan rakan. Namun, tak sangka cubaan pertama kali terus bawa padah,” katanya.

Mat ditemui pada Mesyuarat Agung Persatuan Membantu Orang-orang Dalam Penyeliaan Kedah (Penawar) kali ke-63 dan Jamuan Raya Bersama Bekas Penghuni di bilik taklimat Penjara Alor Setar, semalam.

Menurutnya, dia gembira apabila menerima pengampunan dari Yang di-Pertuan Agong selepas menjalani hukuman kira-kira 27 tahun.

Katanya, peluang diberikan akan digunakan sebaik-baiknya untuk masa depan, sekali gus berharap masyarakat memberi peluang kepada insan seperti mereka.

Manakala, Man, 48, berkata, dia turut mengharapkan masyarakat menerima semula mereka, meskipun pernah melakukan kesalahan.

Sementara itu, Pengerusi Penawar, Idris Ismail berkata, dia mengharapkan industri berfikiran terbuka sekali gus boleh memberi peluang kedua kepada bekas penghuni.

"Kebanyakan bekas penghuni memiliki kemahiran tinggi dalam bidang pertukangan kayu, kasut, jahitan dan gunting rambut.

"Kebanyakan bekas penghuni mampu berubah melalui beberapa kes yang dilihat sebelum ini," katanya.

Sumber: Sinar Harian