Barakah Doa Ibu, Shamsul Ghau-Ghau Berjaya Hijrah Kehidupannya...


"Syurga itu terletak di bawah telapak kaki ibu", maka setiap doa yang dititipkan seorang wanita bergelar ibu amat mustajab, besar nilainya dan bakal menjadi pencorak kehidupan zuriat yang dilahirkan dari rahimnya.

Mungkin itulah yang berlaku terhadap satu nama besar dalam industri lawak tempatan suatu ketika dahulu, Shamsul Azahar Aliddin atau lebih dikenali sebagai Shamsul Ghau Ghau.

Mula mencipta nama dalam program Sinaran Pasport Kegemilangan di TV3 sebelum menyertai kumpulan Senario, sememangnya dikenali sebagai antara artis komedi yang masih bertahan sehingga kini.

Namun sejak akhir-akhir ini, kelibat Shamsul makin jarang kelihatan menerusi kaca televisyen mahupun layar perak dan kehilangan tersebut turut dirasai peminat-peminatnya.

Siapa sangka, beliau kini rupa-rupanya sedang mendalami ilmu agama lantas memperlahankan karier seninya.

Menerusi status di laman Facebook Ustaz Ahmad Dusuki Abd. Rani, beliau menceritakan tentang pertemuannya dengan Shamsul selepas selesai memberikan kuliah di Puchong, Selangor baru-baru ini.


Menurut cerita Shamsul yang menjaga sendiri ibunya, perubahan yang dinikmati beliau kini merupakan hasil doa ibunya.

“…beliau datang dan berada di saf hadapan bersama para jemaah, penuh adab dan berakhlak menyapa dan berbicara bersama saya, jauh datang semata-mata untuk mendengar kuliah, saya bertanya kepadanya…sepatah yang dijawabnya ‘Doa ibu ustaz!'”.

Status tersebut kemudiannya menerima reaksi positif dari ramai peminat yang gembira melihat inisiatif Shamsul yang sedang mencari keredaan Allah S.W.T.

Tak kurang juga, ada netizen yang berkongsi cerita tentang pelakon filem Lang Buana berkenaan. Tulis pemilik akaun Iskandar Apni, “Menurut seorang sahabat…saudara Shamsul Ghau Ghau akan baca Al-Quran sebelum dan selepas shooting dan kerap membaca Al-Quran.”

Pemilik akaun Jebat Derhaka turut berkongsi pengalamannya melihat sendiri Shamsul bersalaman dengan ibunya sebanyak tiga kali dalam tempoh setengah jam.


Benarlah bahawa hidayah itu sememangnya milik Allah SWT dan doa ibu itu merupakan penghubung yang paling mustajab. 

Tahniah Kedahnews.com ucapkan kepada Shamsul Ghau Ghau kerana memilih kehidupan yang lebih sempurna.

Semoga kisah beliau menjadi pedoman dan iktibar kepada pembaca untuk sentiasa mendahulukan ibu dan bapa dalam apa jua yang dilakukan. Ingat, tiada keredaan Allah seandainya tiada keredaan ibu bapa. -Kedahnews.com