ALOR SETAR - Kesan peperangan ‘Battle of Jitra’ ataupun pertempuran Jitra pada 1941 berpotensi untuk dijadikan artifak sejarah dan produk pelancongan negeri ini.
Ketua Biro Kaji Selidik Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah (PSMCK), Dr Mohd Kasri Saidon berkata, kesan peperangan itu termasuklah peninggalan kubu pertahanan British di Jitra dan Pengkalan Logistik Kepala Batas.
Namun katanya, kini kesan peperangan itu tidak dijaga dan berharap akan ada pihak yang bertanggungjawab untuk memelihara kawasan berkenaan.
"Semasa lawatan mahasiswa Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) ke beberapa lokasi menunjukkan negeri ini memiliki nilai aset sejarah tinggi, namun sayangnya ia tidak dijaga,” katanya kepada media.
Dr Mohd Kasri yang juga Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Pendidikan dan Bahasa Moden Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata, pada sesi lawatan itu, mahasiswa terlibat berpeluang memahami aspek ketenteraan zaman dahulu dan bentuk peperangan berlaku di Kedah secara lebih mendalam.
Terdahulu, penuntut UPNM mengikuti program Diskusi Kedah dan Perang Dunia Kedua di Lembaga Muzium Negeri Kedah, sebelum meninjau beberapa aset perang.
Difahamkan, kira-kira 40 penuntut UPNM mengikuti program anjuran UPNM bersama Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah (PSMCK) dan Lembaga Muzium Negeri Kedah, kelmarin.
Turut hadir, Naib Canselor UPNM, Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin dan Pengerusi PSMCK, Datuk Dr Wan Shamsudin Mohd Yusof.