Gambar Hiasan |
SHAH ALAM – Seorang bayi perempuan yang baru dilahirkan ditemui di dalam beg plastik di Jalan Desa Latania, Seksyen 36 di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata, bayi itu ditemui seorang pemuda berusia 18 tahun ketika melalui kawasan itu kira-kira 10 pagi.
Beliau berkata ketika melalui kawasan jalan mati itu, pemuda itu terdengar tangisan bayi sebelum menemuinya di dalam beg plastik.
Tiada sebarang nota ditinggalkan bersama bayi yang masih bertali pusat itu, katanya dalam kenyataan di sini.
Shafien berkata bayi perempuan itu dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang untuk pemeriksaan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan. – BERNAMA