Keadaan adik Muhammad Adam Hamka didukung salah seorang sukarelawan Team Gerak Khas Warna Ceria, Izza Sofea Sobri sambil disaksikan kedua ibu bapanya (kiri). |
SUNGAI PETANI - Bayi berusia sembilan bulan menderita Sindrom Pfeiffer kini menunggu masa menjalani pembedahan ketiga.
Norisam Mohd Jaafar, 35, bapa kepada Muhammad Adam Hamka, berkata, anaknya juga berhadapan masalah saluran pernafasan dan tempurung kepala.
Menurutnya, selepas dua pembedahan utama dilakukan dan Muhammad Adam Hamka kini sedang menunggu untuk melakukan pembedahan seterusnya di bahagian tempurung yang dijangka dilakukan Ogos ini di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
“Pembedahan pertama dilakukan semasa usianya dua bulan berkaitan lidahnya yang bergulung.
“Selepas itu, dia menjalani pembedahan seterusnya iaitu memasukkan tiub bagi membuang cecair di bahagian kepala,” katanya ketika ditemui di jamuan raya di sini semalam.
Menurutnya, sejak anak bongsu dari tiga beradik itu dilahirkan 14 November lalu, dia dan isteri, Khairiyah Shamsudin, 38, dari Felda Kumai, Bera, Pahang perlu sentiasa berwaspada, mengawasi keadaan bayi dan memberi keselesaan terutama apabila biji mata yang terkeluar terpaksa dirapatkan.
Norisam yang sebelum ini memandu lori bagi menampung perbelanjaan isteri dan bayi mereka termasuk dua anak lagi yang masih bersekolah, terpaksa berhenti kerja bagi memberi sepenuh perhatian terhadap anak bongsu itu.
Tambahan pula, ia bukanlah sesuatu yang mudah untuk digalas memandangkan bayinya perlu mendapatkan rawatan segera sekiranya berdepan masalah kesihatan.
Biarpun payah untuk diungkap dengan kata-kata, namun ketua keluarga itu mengakui perlu berkorban segala-galanya demi memastikan anaknya itu selamat selain sihat seperti bayi yang lain.
Menurutnya, kesemua wang simpanan sudah habis dibelanjakan untuk perubatan di samping menyara dua anak lain, Umi Umairah Farhana, 9 dan Mohd Alif Najmi, 5.
“Setakat ini, kami hanya bergantung kepada ihsan orang ramai yang prihatin melalui sumbangan yang telah pun dibuat,” katanya.
Keluarga itu ditemui semasa menghadiri Jamuan Raya di pekarangan Butik Fareeda Warna Ceria yang turut disertai Team Gerak Khas Warna Ceria yang banyak membantu Muhammad Adam Hamka.
Pengarah Urusan Butik Fareeda Warna Ceria merangkap Koordinator Team Gerak Khas Warna Ceria, Noraida Zakaria berkata, kumpulan sukarelawan yang aktif sejak Disember 2014 banyak membantu golongan kurang bernasib baik selepas melaksanakan misi bantuan banjir.
Dalam pada itu, orang ramai yang ingin menyumbang buat adik Muhammad Adam Hamka, boleh berbuat demikian melalui akaun CIMB Norisam bernombor 05100043569520.
Sumber: Sinar Harian