Bekas pemain bola dicekup Antara pasangan lelaki dan wanita yang dicekup anggota penguatkuasa Jaik. |
ALOR SETAR – Seorang bekas pemain bola sepak dicekup bersama seorang wanita dalam satu serbuan di bilik hotel sekitar Bandaraya Alor Setar, kelmarin.
Dalam operasi bermula jam 12 tengah malam itu, lelaki berusia 52 tahun yang juga dipercayai suami orang ditahan kerana disyaki bersekedudukan dengan wanita berusia 27 tahun.
Pada peringkat awalnya, pasangan berkenaan memaklumkan kepada penguatkuasa Jabatan Agama Islam Kedah (Jaik) bahawa mereka adalah suami isteri.
Bagaimanapun, lelaki berkenaan kemudiannya mendakwa pasangannya itu merupakan anak saudaranya selepas disoal disiasat lebih lanjut.
Namun ketika penguatkuasa Jaik menghubungi ibu wanita berkenaan, dia mengesahkan bekas pemain bola sepak itu dan anaknya hanyalah kenalan lama.
Pasangan berkenaan antara enam pasangan ditahan dalam operasi selama lima jam sekitar Alor Setar dan Pokok Sena disertai kira-kira 28 penguatkuasa Jaik.
Penolong Pengarah Penguatkuasa Undang-Undang, Syeikh Mohd Roshidi Mahmud berkata, ketika diserbu lelaki berkenaan hanya bertuala manakala pasangannya memakai baju terbalik. Menurutnya, mereka juga didapati mengambil masa lama untuk membuka pintu bilik hotel berkenaan.
“Ketika disoal, lelaki yang bekerja sebagai pengurus sebuah syarikat swasta berkenaan dikatakan menghuni hotel tersebut selepas menyelesaikan urusan kerja mereka.
“Mereka akan disiasat di bawah Sekyen 25 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014 dan jika sabit kesalahan boleh didenda RM3,000 atau dua tahun penjara,” katanya.
Dalam perkembangan sama katanya, dia menasihatkan pasangan suami isteri membawa dokumen berkaitan pernikahan mereka untuk memudahkan urusan pemeriksaan.
“Ada kes pasangan tertentu mendakwa berkahwin di sempadan, bagaimanapun mereka langsung tidak membawa dokumen berkaitan.
“Perbuatan tidak membawa dokumen penting sebegini tidak hanya menimbulkan syak, malah menimbulkan masalah untuk melakukan pemeriksaan,” katanya.
Sumber: Sinar Harian