Gambar Hiasan |
Ketika desas-desus berkenaan seorang pemimpin Barisan Nasional yang dituduh berpakat dengan pembangkang untuk guling kerajaan bertiup kencang, tiba-tiba muncul pula cerita baharu.
Kononnya ada sebilangan Ahli Parlimen (MP) dari UMNO sendiri akan berpaling tadah dengan membuat undi tidak percaya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Parlimen!
Tanpa berselindung, pihak tersebut dengan beraninya menyebarkan senarai nama 20 MP UMNO di ruang-ruang media sosial, lantas ia makin menimbulkan kekalutan terhadap barisan tertinggi parti berkenaan.
Namun demikian, sehingga kini, ramai individu yang dituduh kononnya pengkhianat dan ‘duri dalam daging’ itu, bangkit membuat kenyataan menafikan spekulasi berkenaan lantas bakal mengambil tindakan.
Ia sekaligus menunjukkan bahawa khabar angin tersebut hanyalah fitnah dan permainan politik kotor sesetengah pihak bagi mengeruhkan suasana dalam UMNO.
Tapi yang menimbulkan seribu tanda-tanya, siapakah individu yang bertanggungjawab di sebalik dalang terhadap penyebaran fitnah itu?
Menerusi satu kenyataan dari Timbalan Menteri Dalam Negeri yang juga merupakan bekas Pengerusi PAC, Datuk Nur Jazlan Mohamed, desas-desus tersebut dipercayai disebarkan sendiri oleh ahli UMNO.
Bekas Pengerusi PAC, Datuk Nur Jazlan Mohamed |
Memetik kenyataan dari Ahli Parlimen Pulai itu dalam laporan Sinar Harian, “Ini kerja orang UMNO yang sengaja mahu pecah-belahkan parti sendiri.
“Mereka nampak keadaan parti lemah mereka sengaja mahu keruhkan keadaan.”
Selain itu, Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Noraini Ahmad pula menyifatkan senario tersebut sebagai ‘batu api’ dalam UMNO.
“Saya percaya ada pihak mahu melaga-lagakan dan memecah-belahkan kami.”
Antara nama pemimpin yang tersenarai dalam ‘pakatan’ tersebut adalah Tan Sri Muhyiddin Yassin (Pagoh), Datuk Seri Shafie Apdal (Semporna), Datuk Bung Muktar (Kinabatangan), Khairy Jamaluddin (Rembau) dan Datuk Seri Shahidan Kassim (Arau). -Kedahnews.com