Berlakon Dengan Tun M, Faizal Husin Terpaksa Kunci Mulut Hingga 17 Ogos

Faizal Hussein dan Tun M dalam "Kapsul"
Pelakon terkenal tanah air, Faizal Hussein terpaksa mengelakkan diri daripada ditemuramah oleh media berikutan video lakonannya bersama bekas pemimpin negara, Tun Dr Mahathir Mohamad menerusi filem Kapsul adalah kerana perjanjian dengan beberapa pihak.

Memetik laporan dari Mstar Online, pihak produksi telah meminta Faizal, 47, untuk tidak membuat sebarang kenyataan mengenai babaknya bersama Tun M yang viral sebulan sebelum tarik tayangan filem itu.

“Ramai wartawan telefon dan cari saya untuk beri komen tentang babak itu, namun saya tidak menjawab penggilan kerana kalau saya jawab sekali pun saya tidak boleh beri kenyataan tentang apa yang mereka mahu.

“Bukan media tempatan sahaja, malah dari Indonesia, Jepun dan beberapa negara lagi. Pihak produksi dan badan yang bertanggungjawab membawa Tun tidak benarkan saya keluar kenyataan sebelum 17 Ogos,” katanya.

Video trailer filem Kapsul berdurasi 30 saat itu telah viral sejak kebelakangan ini kerana hadirnya mantan Perdana Menteri terkemuka itu sebagai salah seorang pelakon filem tersebut.


Menurut Faizal, lakonannya bersama Tun M merupakan pengalaman yang sangat bermakna dan ia seperti mimpi yang menjadi kenyataan.

“Saya seperti tidak percaya kerana ia pada awalnya hanya angan-angan sahaja, biarpun hanya beberapa minit sahaja babak itu, namun ia sangat bermakna.

“Filem ini adalah menceritakan tentang ideologi beliau dan pada penghujung cerita nanti beliau juga akan keluar dengan kereta proton baharu,” ujarnya kepada sumber.

Filem Kapsul ini dibintangi oleh pelakon-pelakon ternama Malaysia seperti Datuk Rahim Razali, Datuk Ahmad Tarmimi Siregar, Adlin Aman Ramli dan Irfan Khairi yang bakal ditayangkan seluruh negara mulai 17 September ini. -Kedahnews.com