Walaupun sudah lama membabitkan diri dalam bidang lakonan, Hans Isaac akui berpeluh saat melakonkan adegan intim atas katil bersama pelakon Jepun, Rin Izumi.
Hans yang menjayakan babak terbabit dalam filem terbarunya, Nota berkata, perasaan gementar menghantui diri apabila dikehendaki melakukannya pada hari pertama penggambaran.
“Walaupun saya pernah melakukan adegan seperti ini menerusi filem Miss You like Crazy pada 2010 yang ditayangkan di Filipina, rasanya tidak sama.
“Terkejut juga apabila hari pertama perlu beraksi atas katil, namun saya kena buat juga. Ketika melakukan babak ini hati saya berdebar dan mula berpeluh.
“Mungkin juga kerana saya belum sempat mengenali Rin tiba-tiba disuruh buat adegan itu,” katanya pada prebiu filem Nota yang berlangsung baru-baru ini.
Filem arahan sutradara Jepun, Yasu Tanaka itu bakal menggegarkan pawagan tanah air pada bulan ini dan turut menampilkan Maya Karin sebagai pelakon utama.
Mengulas gandingannya bersama Maya, Hans berkata, meskipun sudah lama kenal baru kini mereka ‘disatukan’ sebagai pasangan.
“Ini adalah gandingan pertama kami dan menghidupkan watak suami isteri. Tiada masalah mencari keserasian kerana dalam filem ini kami melakonkan watak pasangan yang bermasalah.
“Bagi mendapatkan ‘mood’ untuk watak masing-masing, kami banyak buat hal masing-masing sebelum penggambaran.
“Jujurnya, begitulah keadaan kami sejak dulu. Sesekali bertemu barulah berborak malah kadangkala langsung tidak bercakap.
“Kami pernah bekerjasama menerusi teater Supermokh pada 2013,” katanya.
Sumber: myMetro