Bersih 2.0 Beri Amaran Pada PDRM Tidak Ugut Dengan Tindakan Tegas

Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah
KUALA LUMPUR – Penganjur perhimpunan bagi menggulingkan kerajaan pada 29 Ogos ini, Bersih 2.0 memberi amaran kepada pihak polis supaya tidak mengenakan tindakan tegas ke atas peserta perhimpunan itu.

Pengerusinya, Maria Chin Abdullah berkata, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar perlu bertindak bijak dengan tidak menghalang orang ramai daripada menyertai perhimpunan berkenaan.

“Kami ingin mengingatkan Ketua Polis Negara supaya bertindak bijak. Salah langkah pihak polis, seperti yang boleh dilihat dalam tiga perhimpunan lalu hanya akan menyemarakkan semangat orang ramai untuk ikut serta dalam perhimpunan kali ini.

“Ugutan dan tindakan hanya akan menambah rasa menyampah orang ramai terhadap kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Maria Chin dalam pada itu mendakwa ramai penjawat awam termasuk pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mahu menyertai perhimpunan itu.

Justeru, katanya, beliau meminta semua penjawat awam lain menyertai perhimpunan secara besar-besaran anjuran gerakan anti-kerajaan termasuk DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) tersebut. -Kedahnews.com