Hari ini masih kedengaran kritikan pihak tertentu terhadap kerajaan dan pentadbiran negara. Pengkritik yang baik ialah yang sanggup mendengar penjelasan pihak yang menjadi sasaran itu.
Menyokong yang baik dan menentang yang salah, bukan menyokong apa sahaja atau menentang kesemuanya mahupun yang baik.
Persoalannya, apakah selama ini kerajaan hanya melakukan perkara yang tidak baik sahaja dan langsung tiada sebarang kebaikan dalam pentadbiran negara.
Islam mempunyai pandangan yang luas merangkumi setiap aspek kehidupan manusia termasuk ibadah, sosial, kebudayaan, ekonomi, politik, ketenteraan, pendidikan dan sebagainya. Semuanya saling berkaitan antara satu sama lain, bantu membantu dan lengkap melengkapi. Pertembungan kepentingan antara kehendak gelojak hawa nafsu menimbulkan konflik dalam diri manusia.
Pertembungan ini menentukan hala tuju dan status fitrah kehidupan kita. Nafsu jahat yang dikenali sebagai sifat mazmumah dapat dikenali melalui sifat keji dan kotor yang ada pada manusia seperti buruk sangka, menyebar fitnah dan hasad dengki.
Sifat-sifat ini melekat pada hati seperti daki melekat pada badan manusia. Jika tidak dikikis dan dibuang, ia semakin kuat dan menebal pada hati. Jihad membasmi sifat sebegini, memerlukan kesabaran yang amat tinggi.
Islam juga menyatakan dengan jelas peranan seorang Muslim sejati untuk sentiasa mementingkan perpaduan dan menjaga ketahanannya supaya tidak mudah diganggu oleh anasir-anasir jahat. Seorang Muslim akan sentiasa berusaha dan berikhtiar memartabatkan masyarakat Islam menjadi masyarakat yang kuat setanding dengan masyarakat yang lain.
Oleh itu perpaduan dalam kalangan umat Islam merupakan misi dan pengajaran agama Islam yang terpenting. Allah SWT berfirman yang bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.” (Surah al-Hujurat: 6).
Dalam firman lain:
“Allah tidak menyukai menyebut keburukan orang (yang diucapkan) dengan terus terang kecuali oleh orang yang dizalimi. Allah Maha Mendengar Lagi Maha Mengetahui.” (Surah al-Nisa’ : 148).
Berdasarkan ayat-ayat di atas jelas Allah SWT memerintahkan umat Islam memastikan terlebih dahulu kebenaran sesuatu berita sebelum disebarkan dalam kalangan masyarakat. Penyaluran sesuatu maklumat hendaklah dikaji terlebih dahulu apakah ia boleh dipercayai atau sebaliknya.
Kita sesama Islam digalakkan supaya bersangka baik. Ayat yang kedua pula menggesa supaya tidak mudah membuat tuduhan-tuduhan liar yang tidak berasas seperti mencela, memaki, mendedahkan keburukan-keburukan orang lain, menyinggung perasaan seseorang dan sebagainya kecuali orang yang dizalimi.
Rasulullah SAW tidak mudah untuk mendengar kata-kata yang mengeruhkan perhubungan dalam kalangan para sahabat. Baginda bersabda yang bermaksud:
“Jauhilah olehmu berprasangka kerana berprasangka adalah seburuk-buruk pembicaraan. Janganlah kamu saling mencari keburukan orang lain, janganlah saling bermegah-megah, janganlah saling dengki mendengki, janganlah saling menghangatkan emosi dan janganlah saling menjauhi. Jadilah hamba-hamba Allah yang bersatu dan bersaudara sebagaimana yang telah diperintahkan Allah kepadamu. Seorang Muslim dengan Muslim lainnya adalah bersaudara yang di antara mereka dilarang saling menganiaya, saling menghina dan saling meremehkan. Takwa adalah di sini (sambil Rasulullah SAW memberi isyarat ke arah dada). Cukuplah seorang Muslim dikatakan melakukan keburukan apabila dia menghina sesama Muslim. Seorang Muslim dengan Muslim lainnya harus saling menjaga darah, kehormatan dan hartanya.” - Riwayat Bukhari dan Muslim.
Hadis di atas jelas menunjukkan bahawa Rasulullah SAW melarang penyebaran aib orang lain kerana bakal menimbulkan fitnah, pandangan serong, tidak berlaku adil dan pelbagai motif jahat yang lain.
Oleh itu, Allah SWT menganjurkan supaya berhati-hati menerima berita-berita yang belum lagi diketahui asal-usul dan kebenarannya berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud:
“Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya, sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya.” (Surah al-Isra’ : 36)
Rakyat perlu sedar dan insaf bahawa tabiat tuduh menuduh dan memfitnah membawa kepada kehancuran sesama sendiri dan langsung tidak mendatangkan sebarang manfaat. Kebiasaannya perkara sebegini berlaku berpunca daripada sifat mazmumah. Rasulullah SAW bersabda:
“Takbur itu ialah sombong dengan tidak mahu menerima kebenaran dan memandang hina orang lain.” - Riwayat Muslim.
Allah SWT berfirman yang memberi peringatan berkenaan perkara ini:
“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah Penerima Taubat lagi Maha Mengasihani.” (Surah al-Hujurat : 12).
Islam mampu menjadi petunjuk bagi menyelesaikan kegawatan yang dihadapi oleh umat Islam sepanjang zaman. Modal insan adalah sumber terpenting kepada pembangunan negara.
Maju atau mundurnya sesebuah negara bergantung penuh kepada kekuatan dan kehebatan nilai, kompetensi dan kemahiran insaniah bangsa itu sendiri.
Ringkasnya, pada hemah saya, kita perlu membangunkan sebuah masyarakat yang memiliki nilai-nilai tinggi, berakhlak mulia serta memiliki minda yang mencerminkan rakyat sebuah negara maju berpaksikan prinsip Islam. Inilah transformasi hidup seorang Muslim pasca Ramadan al-Mubarak.
Sumber: Utusan