Bot, Kapal Di Langkawi Diminta Patuhi Had Laju, Jejaskan GeoPark

Gambar Hiasan
ALOR SETAR - Pengusaha dan persatuan bot pelancong sekitar Langkawi diminta memberi kerjasama dalam memastikan bot dan kapal milik mereka tidak bergerak pada kelajuan tinggi sehingga menjadi ancaman kepada pulau itu.

Exco Pelancongan, Datuk Mohd Rawi Abd Hamid berkata, langkah itu dibuat bagi mengekalkan status Geopark yang dianugerahkan  Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (Unesco).

Menurutnya, pihaknya sudah membuat teguran itu kepada pihak terlibat dan memohon mereka mematuhi had laju dibenarkan.

“Kita masih mencari jalan untuk memantau perkara ini selain memberi teguran kepada pemilik bot, namun perkara itu di luar kawalan.

"Apabila pelancong ramai, pengusaha akan bawa dengan laju hingga menjejaskan hutan bakau. Kita harap mereka juga peka terhadap alam sekitar di samping mengejar keuntungan,” katanya selepas menandatangani Memorandum Kerjasama (MoC) antara Yayasan Pembangunan Insan Langkawi (YPIL) selaku Pengerusinya dengan Telekom Malaysia Berhad (TM) bagi membangunkan Aplikasi Pelancongan Pintar di Langkawi, kelmarin.

Mohd Rawi berkata, perkara itu pernah dibangkitkan Ketua Pegawai Eksekutif, Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada), Tan Sri Khalid Ramli dan ia turut ditegur wakil Unesco yang mahu perkara itu diatasi.

“Gelombang yang dihasilkan kapal atau bot boleh merosakkan pantai atau paya bakau yang merupakan antara keunikan semula jadi di kawasan kepulauan Langkawi yang menerima status Geopark itu pada 2007.

"Mohon semua pihak beri kerjasama sepenuhnya di mana penilaian akan dibuat semula bulan ini,” katanya.

Katanya, kerajaan negeri, Lada dan Kementerian Pelancongan telah melakukan penambahbaikan terhadap teguran badan berkenaan.

"Hanya satu aspek yang masih dalam pemerhatian iaitu ancaman bot laju yang menjejaskan ekosistem paya bakau.

“Kita mahu kekalkan status ini, segala kelemahan sudah kita atasi termasuk mendekatkan hubungan dengan masyarakat setempat, terutama kawasan Kilim,” katanya.

Mohd Rawi berkata, satu perjumpaan diadakan bersama wakil Unesco semalam, manakala dialog berkaitan pada Khamis depan.

Unesco akan membuat penilaian terhadap status Geopark dalam bulan ini dan ia kali kedua dibuat selepas 2011.

Sebelum ini, Langkawi telah diiktiraf sebagai Geopark ke-52 di dunia dan pertama di Asia Tenggara.