Polis sedang menyiasat tempat kejadian. |
Beijing - Seorang budak lelaki berusia 10 tahun maut apabila arca berbentuk wang syiling gergasi yang dipamerkan untuk tatapan awam di Deyang, wilayah Sichuan menghempapnya.
Tencent News melaporkan, budak itu bermain seorang diri berhampiran arca berkenaan yang dipamerkan di dataran awam sebelum struktur itu tiba-tiba tumbang dan menghempapnya.
Nenek mangsa bergegas ke tempat kejadian sebaik mendengar kejadian menimpa cucunya, namun kanak-kanak itu sudah meninggal dunia.
Mendengar berita itu, neneknya meraung sebelum pengsan.
Kes itu kini disiasat polis.
Berita itu mencetuskan perbincangan hangat dalam kalangan netizen mengenai siapa yang patut dipersalahkan atas tragedi itu.
“Tragedi seperti ini sepatutnya boleh dielakkan. Kenapa perekanya tidak memikirkan soal keselamatan?” kata seorang pengguna.
Seorang lagi berkata: “Jabatan berkaitan dengan pembinaan dan pemeriksaan kualiti patut dipertanggungjawabkan!”
Netizen menggunakan nama Duangduang pula berkata: “Keluarganya pun bersalah dalam hal ini!” - Agensi