Cawan gergasi kopi Starbucks lengkap dengan krim putar dan sudu semuanya diperbuat menggunakan kek. |
Nampak seperti hidangan makanan segera kegemaran ramai, namun sebenarnya kek dihias rapi dengan span, krim mentega dan fondant.
Chef pastri Jayne McCool diberi jolokan SuperGran kerana bakatnya menggubah kek kepada bentuk makanan kegemaran keluarganya malah mendapat pengiktirafan juri The Great British Bake Off, Mary Berry dan Paul Hollywood.
Kek berupa hidangan KFC, McDonald’s dan Starbucks antara yang dihasilkan nenek berusia 45 tahun itu malah dia sering mendapat tempahan untuk mencabar keupayaannya, termasuk yang berbentuk kasut atau beg. Ironinya, dia sendiri tidak gemar makan kek malah jika diberi pilihan lebih menggemari ayam KFC sebenar.
“Saya suka mencabar diri sendiri terutama memastikan kek dihasilkan nampak realistik. Saya anggap satu pencapaian apabila ada orang terkejut selepas menyedari apa dihidangkan sebenarnya kek.
“Idea membuat kek berbentuk KFC dan McDonald’s antara yang paling popular. Pertama kali saya mendapat ilham itu ketika menyambut ulang tahun kelahiran abang ipar saya yang juga peminat tegar hidangan sarapan di McDonald’s,” katanya.
Kek KFC mengambil paling lama untuk disiapkan apabila dimulakan pada jam 6 pagi dan hanya selesai sekitar jam 11.45 malam.
Tak ubah seperti hidangan KFC. |
“Ketulan ayam yang paling sukar dibuat dan saya terpaksa mencuba berulang kali supaya akhirnya ia benar-benar kelihatan seperti ayam goreng asli,” katanya.
Jayne yang menghasilkan kek secara profesional sejak berusia 16 tahun berkata, suami James antara orang paling penting memastikan apa dihasilkan bukan sekadar cantik tetapi juga lazat.
“Dia tidak takut mengkritik menyebabkan saya percaya 100 peratus dengan pandangannya.
“Paling penting, kek itu mesti sedap. Walaupun dihias sehingga tiada rupa langsung seperti kek biasa, ia mesti cukup lazat dan lembut supaya pemakannya berpuas hati,” katanya.
Kek Minion antara yang popular. |
Sumber: myMetro