Fasha Sandha |
ALOR SETAR - Laporan beberapa laman blog baru-baru ini yang memaparkan berita Fasha Sandha yang kononnya telah meninggal dunia telah disahkan palsu dan tidak benar sama sekali, mungkin bertujuan untuk meraih publisiti murahan.
Memetik Berita Harian, plot cerita membabitkan Fasha Sandha kononnya mati ditembak itu sebenarnya merupakan salah satu babak drama Miranda yang disiarkan menerusi slot Samarinda TV3 diarahkan Along Kamarudin tahun lalu.
Dazrin Kamarudin yang bergandingan dengan Fasha dalam drama itu agak terkejut dengan berita berkenaan.
Laporan palsu blog |
"Itu memang babak lama. Memang dalam drama Miranda ada babak tembak menembak membabitkan Fasha dan saya.
"Malah ada orang awam yang terkejut hingga menelefon pihak polis ketika penggambaran berkenaan diadakan.
"Orang awam berdekatan sangkakan ia betul terjadi. Pihak polis memang siap buat tinjauan. Kenapalah perlu dibangkitkan cerita lama yang mengarut. Hal mati jangan dibuat main. Saya dan Fasha masih sihat," katanya dalam kenyataan kepada akhbar tersebut.
Fasha yang dihubungi media selepas itu telah memilih untuk tidak memberi sebarang komen lanjut kerana berita sebegitu dilihat akan menaikkan hits pihak yang menyebarkan berita palsu berkenaan. -Kedahnews.com