Dakwaan Baju Hitam Tanda Protes, Ini Jawapan Ketua Pemuda UMNO Kubang Pasu


ALOR SETAR - Dakwaan wujud protes terhadap Pengarah Komunikasi Strategik BN, Datuk Abdul Rahman Dahlan oleh Pemuda Umno Bahagian Kubang Pasu, gara-gara berpakaian warna hitam hanya mainan politik.

Ketuanya, Hasmuni Hassan berkata, perkara itu tidak benar dan tiada sebab untuk perwakilan bahagian itu berbuat demikian dan menyifatkan ia sebagai salah faham.

“Bukan protes, sebaliknya rutin di bahagian ini yang memberi cenderahati seperti baju kepada perwakilan sebagai tanda penghargaan,” katanya.

Menurutnya, Abdul Rahman yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan dijemput merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pemuda Umno Bahagian Kubang Pasu, Sabtu lalu.

“Setiap tahun kita adakan cenderahati kepada perwakilan, tahun ini kemeja T hitam, manakala tahun lalu kemeja berwarna merah. Tahun depan, saya bercadang untuk berikan songkok,” katanya.

Hasmuni berkata, dakwaan itu tidak berasas dan tiada kaitan dengan perkembangan politik semasa kerana perancangan dibuat tiga bulan lalu.

“Saya membuat pesanan kemeja T hitam itu tiga bulan lepas, untuk diagihkan kepada 470 perwakilan Pemuda Umno. Bukan dibuat dalam sehari dua, kerana jumlahnya banyak, jadi tiada kaitan dengan isu politik,” katanya.

Menurutnya, difahamkan beberapa bahagian turut melakukan perkara sama dengan memberi cenderahati kepada perwakilan mereka dalam pelbagai bentuk sama ada pakaian, beg mahupun barangan lain.

“Diharap tiada mana-mana pihak cuba membuat provokasi. Tidak perlu kaitkan sebarang tindakan dengan senario politik semasa,” katanya.

Sumber: Sinar Harian