Dana Politik RM2.6 Bilion Bantu UMNO Lawan DAP, Yahudi?

Gambar Hiasan
BATU PAHAT – Sumbangan RM2.6 bilion yang diterima Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak daripada salah seorang penderma kaya-raya Arab dari rantau Timur Tengah baru-baru ini adalah bagi membantu UMNO.

Menurut portal propembangkang, The Malaysian Insider yang dipetik oleh stesen tempatan Astro Awani, dana politik tersebut akan digunakan pihak UMNO sebagai kempen politik bagi menentang DAP dan Yahudi.

Perkara itu didedahkan Ketua UMNO Bahagian Sri Gading di Johor, Datuk Abdul Aziz Kaprawi yang mendakwa, DAP telah dibiayai pihak Yahudi ketika parti pembangkang itu bertanding pada Pilihan Raya Umum 2013 lalu.

The Malaysian Insider juga memetik Abdul Aziz sebagai berkata, penderma Islam dari Asia Barat berkenaan berasa khuatir sekiranya pengaruh jahat Yahudi akan berjaya meresap masuk di negara ini melalui DAP.

Seterusnya ujar Ahli Parlimen Sri Gading dan Timbalan Menteri Pengangkutan itu, kejayaan DAP dalam pilihan raya akan datang bakal memusnahkan sebuah kerajaan Islam yang diketuai oleh UMNO-Barisan Nasional (BN).

“Kalau kita kalah, DAP akan berkuasa. DAP dengan dana Yahudinya akan mengawal negara ini,” tegas beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO ketika berucap pada mesyuarat tahunan parti bahagian tersebut pada Sabtu.

“Berdasarkan perkara itu, rakan-rakan Islam kita di Timur Tengah dapat lihat ancaman Yahudi melalui DAP,” katanya kepada perwakilan mesyurat yang dirasmikan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Sementara itu, Abdul Aziz turut memuji Najib sebagai seorang pemimpin Islam yang hebat di rantau ini sehingga mampu menarik kepercayaan dermawan Asia Barat bagi memperjuangkan martabat agama Islam.

Sebelum ini, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz pernah mendedahkan derma RM2.6 bilion yang disalurkan ke akaun peribadi Najib daripada negara bersaudara seagama di Timur Tengah.

Beliau yang juga Menteri Pelancongan dan Kebudayaan itu pada 11 Ogos lalu menegaskan, sumbangan tersebut adalah komitmen bagi melihat BN terus kekal berkuasa dalam pilihan raya umum dan memerintah Malaysia.

Mohamed Nazri berkata ia diberikan oleh negara sahabat yang tidak sekuat mana berbanding Malaysia dan menolak dakwaan konon Malaysia akan berada di bawah pengaruh mereka kelak. – Agensi