DAP Dakwa TGHA Jadi "Batu Penghalang", Suruh Contohi Mat Sabu

Gambar Hiasan: Mat Sabu, Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang
KUALA LUMPUR – DAP menolak pelawaan Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man supaya parti-parti pembangkang bersama kembali untuk menentang kerajaan selepas Pakatan Rakyat berkubur pada Jun lalu.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang berkata, kerjasama itu tidak akan menjadi sama seperti Pakatan Rakyat selagi PAS terus dipimpin Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang dianggap sebagai seorang pengkhianat dan pengamal veto.

“Tuan Ibrahim adalah tepat tentang keperluan semua pembangkang disatukan untuk perubahan politik tetapi ia tidak boleh bersifat `oppurtunist’.

“Perlu ada prisip dan objektik politik yang sama dalam parti-parti gabungan pembangkang selepas ini,” tegasnya dalam satu kenyataan media hari ini.

Malah, Kit Siang mengumumkan, satu gabungan baharu parti-parti pembangkang tanpa PAS akan diwujudkan selepas parti Islam baharu iaitu Gerakan Harapan Baru (GHB) didaftarkan.

Beliau turut membandingkan Tuan Ibrahim dengan pemimpin GHB, Mohamad Sabu sewaktu memegang jawatan Timbalan Presiden PAS.

Kata beliau, Mohamad semasa memegang jawatan itu sangat rasional dan bertimbang rasa dalam Pakatan Rakyat tetapi malangnya beliau tidak mempunyai kuasa dalam PAS kerana Abdul Hadi mempunyai kuasa veto. -Kedahnews.com