DAP Lulus Resolusi Sokong Himpunan Jalanan Mahu Najib Letak Jawatan

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng
KUALA LUMPUR – Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi DAP Pusat yang berlangsung kelmarin meluluskan resolusi menyokong perhimpunan yang dilihat ramai pihak bertujuan melumpuhkan kerajaan pada 29 Ogos ini.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, perhimpunan Bersih 4.0 itu akan menuntut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meletak jawatan dengan serta merta.

“Sekiranya beliau enggan meletak jawatan, (perhimpunan itu untuk mendapatkan undi tidak percaya di Parlimen.

“Bersih 4.0 juga menuntut supaya Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala dan Paul Low, meletak jawatan,” tegasnya dalam satu kenyataan media hari ini.

Kata Guan Eng, Jawatankuasa Tertinggi DAP Pusat turut meluluskan resolusi mencabar Perdana Menteri membuktikan komitmen terhadap nilai-nilai integriti dan akauntabiliti dalam kehidupan awam dengan memastikan semua penjawat awam mengisytiharkan harta.

Beberapa badan bukan kerajaan (NGO) dengan kerjasama DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) merancang mengadakan demonstrasi jalanan secara besar-besaran untuk menjatuhkan kerajaan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada hujung bulan ini.