Dapat Peruntukan RM30 Juta, Wad Hospital Sultanah Bahiyah Akan Dinaik Taraf


ALOR SETAR – Wad-wad di Hospital Alor Setar (HAS) akan dinaik taraf dalam masa terdekat bagi menampung pertambahan bilangan pesakit di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), kata Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr. Norhizan Ismail.

Beliau berkata, sebanyak RM30 juta daripada peruntukan RM70 juta yang dipohon dari Kementerian Kesihatan sudah diperoleh untuk kerja-kerja menaik taraf wad di hospital itu.

Dr Norhizan berkata, enam daripada 10 lif di HAS juga bakal diganti baharu untuk menjamin keselamatan kakitangan, pesakit dan orang ramai yang pergi ke hospital itu.

Beliau berkata, terdapat masalah kekurangan katil pesakit di wad dan kesesakan di wad kecemasan serta trauma di HSB.

“Kita akan membaiki semula wad HAS supaya kes-kes stabil di HSB dapat dipindahkan ke HAS bagi mengosongkan katil di HSB,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri sambutan Hari Hepatitis Sedunia 2015 di sini hari ini. – BERNAMA