Mohmad Hanif Haron (kiri) menunjukkan surat kebenaran beroperasi yang dikeluarkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang dalam sidang akhbar di Tasek Gelugor, Pulau Pinang, semalam |
Pusat Pengajian Darul Hadis Pulau Pinang (PPDHPP) menafikan tuduhan yang tersebar di laman sosial mendakwa dijadikan pusat penyebaran hadis palsu.
Pengetuanya, Mohmad Hanif Haron berkata, penyebaran maklumat berunsur fitnah itu sengaja dilakukan bagi menghalang usaha PPDHPP mengumpul dana berjumlah RM1.8 juta untuk membeli tanah seluas 2.1 hektar yang akan dijadikan bangunan pusat itu.
Sehubungan itu, beliau mendesak Dr. Ahmad Jailani Abdul Ghani dan Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin tampil memberikan penjelasan berkaitan penyebaran maklumat palsu itu yang dikaitkan dengan nama mereka.
“Saya menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang mengaitkan PPDHPP sebagai pusat penyebaran hadis palsu kerana kami berdaftar dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) manakala Penasihat Kehormat kami ialah Bekas Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Hassan Ahmad.
“Jadi saya ingin mendesak Jailani dan Mohd. Asri menyatakan pendirian mereka berkaitan status yang tersebar di Facebook dan WhatsApp agar keadaan ini dapat dijernihkan,” katanya kepada pemberita di pusat sementara PPDHPP di Taman Desa Sena, di sini hari ini.
Tambah Mohmad Hanif, pihaknya telah menghubungi Jailani yang mendakwa hanya berbincang mengenai perkara itu, namun tidak menyebarkannya kepada pihak lain.
Namun jelasnya, beliau gagal menghubungi Mohd. Asri bagi mendapatkan kenyataan berkaitan isu itu biarpun membaca kenyataannya di dalam Facebook.
Ditanya mengenai kutipan dana itu, Mohmad Hanif menjelaskan, pihaknya memulakan usaha itu sejak 2012 dengan mengadakan kuliah mingguan dan kelas pengajian hadis di Surau A’ala, Taman Desa Sena selain membuka peluang kepada kanak-kanak yang berminat untuk menghafaz al-Quran.
“Tahun lalu dengan sokongan penduduk setempat, kami berjaya mengumpulkan 19 pelajar untuk mengikuti kelas tahfiz dengan menggunakan silibus pengajian al-Quran.
“Bermula tahun lepas juga kami berusaha mencari tanah untuk membina bangunan khusus PPDHPP dan berjaya membeli tanah di Pokok Machang dekat sini dengan harga RM2 juta dan bayaran deposit tanah itu telah dibayar sebanyak 10 peratus.
“Kami diberi masa selama enam bulan oleh pemilik tanah untuk menyelesaikan bakinya yang mana tiga bulan secara tanpa faedah dan tiga bulan berikutnya dikenakan faedah enam peratus,” ujarnya.
Oleh itu, kata Mohmad Hanif, pihaknya berusaha mengumpulkan dana melalui sumbangan orang ramai untuk membayar baki harga tanah tersebut dalam masa yang ditetapkan supaya usaha membina bangunan pusat berkenaan dapat direalisasikan.
Untuk maklumat lanjut, orang ramai juga boleh melayari laman Facebook Maahad Darul Hadis Pulau Pinang atau hubungi 019-4037435 atau 019-4156411. -Utusan