Dewan Muslimat PAS Pusat Desak Ketua Dewan Muslimat Johor Letak Jawatan

Gambar Hiasan
KUALA LUMPUR – Dewan Muslimat PAS Pusat mendesak Ketua Dewan Muslimat PAS Johor, Norhayati Bachok supaya meletak jawatan serta merta kerana didapati terlibat dengan Gerakan Harapan Baru (GHB).

Ahli Jawatankuasa Dewan Muslimat PAS Pusat, Normala Sudirman berkata, Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Johor, Norhayati Bidin dan Naib Ketua Dewan Muslimat PAS Johor, Anis Afida Mohd.Azli turut didesak meletak jawatan kerana penglibatan mereka dengan GHB.

Menurutnya, ketiga-tiga pemimpin wanita PAS Johor itu telah melanggar arahan PAS Pusat pada 31 Julai lalu berkaitan larangan penglibatan ahli parti itu dalam aktiviti GHB.

“Tindakan trio utama Dewan Muslimat PAS Johor yang selama ini terlibat dalam usaha mempromosi, memberi penerangan berkaitan GHB terutama melalui paparan banner ucapan, grafik dan gambar melalui media sosial seperti Facebook suatu tindakan yang mencemarkan maruah, integriti dan menyalahi etika pimpinan jamaah Islam PAS khususnya di Johor sekaligus melakukan tindakan merugikan parti .

“Aktiviti mereka yang dilihat agak kontra dengan dasar PAS sejak 16 Jun 2015 menjejaskan tumpuan dan tanggungjawab terhadap usaha untuk menjaga keutuhan, imej dan maruah parti termasuk gagal bekerjasama dengan Badan Perhubungan PAS Johor apabila dijemput untuk bermesyuarat dan mengadakan pertemuan bagi merungkai masalah atau mejawab segala kekeliruan atas segala tindakan yang mereka lakukan,” katanya dalam satu kenyataan media semalam.

Normala yang juga salah seorang AJK Dewan Muslimat PAS Johor berkata, desakan ke atas tiga pemimpin tertinggi wanita PAS Johor itu supaya meletakl jawatan serta merta disokong 20 Ketua Dewan Muslimat Kawasan dan lebih 50 muslimat yang memegang jawatan pelbagai peringkat dalam Majlis Jalinan Ukhuwwah AidilFitri Srikandi Istiqamah Johor.

Selain itu, katanya, Dewan Muslimat PAS Pusat turut mendesak AJK Dewan Muslimat PAS dan Ahli Jawatankuasa Dewan Muslimat PAS Kawasan (DMPK) di semua peringkat di Johor yang menyokong dan terlibat dalam aktiviti GHB turut meletak jawatan serta merta tanpa perlu menunggu GHB diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS) sebagai sebuah parti politik.

“Kami mendesak agar meletakkan jawatan serta berundur secara terhormat berkuat kuasa hari ini secara serta secara berprosedur,” tegasnya.