Dewan orang ramai di Pekan Naka kini terbiar dan menjadi sarang penagih dadah. |
NAKA - Sebuah dewan orang ramai di Pekan Naka yang terbiar sejak tiga tahun lalu didakwa menjadi sarang penagih melepaskan gian.
Penduduk, Zahari Zakaria, 32, keadaan persekitaran dewan yang tidak diselenggara dipercayai menjadi sebab penagih semakin berani.
"Tak kira masa... ada penagih datang petang, ada yang datang malam. Mereka bebas melepaskan gian di situ sebab aktiviti mereka terlindung daripada pandangan umum.
"Kedudukan beberapa bilik belakang yang tersembunyi juga memberi kemudahan kepada penagih melepaskan gian.
"Lebih menyedihkan apabila kebanyakan penagih itu pelajar yang baru berjinak-jinak dengan dadah," katanya.
Menurutnya, kawasan sekitar dewan berkenaan perlu dibersihkan dan struktur dewan yang reput perlu dibaik pulih.
"Kalau kawasan dah bersih, dewan sudah elok... banyak aktiviti yang boleh kami adakan, sekali gus penagihan di situ juga dapat diatasi.
"Memang rugi kalau dewan yang dibina beratus ribu ringgit itu terbiar macam tu saja. Bukan mudah nak bina... jadi kami rayu supaya dewan ini dibaik pulih untuk dimanfaatkan penduduk," katanya.
Menurut Abd Manaf Abd Rahman, 36, dewan itu pernah dijadikan pusat aktiviti penduduk seperti sukaneka dan majlis keramaian.
Bagaimanapun, menurutnya, sejak dewan itu tidak diselenggara dan terbiar, aktiviti penduduk beralih ke tempat lain.
"Aktiviti seperti mesyuarat Amanah Ikhtiar (AIM) dah dibuat di masjid. Malah, anak kampung ini tak dapat lagi beriadah di situ sebab keadaannya yang tidak terurus.
"Lantai dewan juga makin teruk rosaknya dan kami tak dapat lagi gunakan dewan itu. Dinding dewan pula dirosakkan, malah pendawaian elektriknya telah dicuri," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Pekan Naka, Shah Jahan Mohd Nasir berkata, masalah itu sudah pun dipanjangkan Majlis Daerah Padang Terap (MDPT).
"Pihak berkenaan datang melawat dewan terbiar itu dan berjanji akan menjalankan kerja baik pulih.
"Ia akan mengambil masa sebab kos baik pulih dewan itu agak tinggi," katanya.
Sumber: Sinar Harian