Kemahiran berbahasa Mandarin antara kelebihan Azran untuk berinteraksi. |
KUALA MUDA - Bertitik tolak dianiaya rakan ketika di sekolah, mualaf ini kemudiannya tertarik mendalami agama Islam seawal usia 17 tahun.
Menceritakan detik permulaan dia mendekati Islam, Azran Chan berkata, ia bermula dengan kejadian di sekolah apabila rakannya dengan sengaja meletakkan sebuah majalah dalam beg miliknya.
“Masa itu, ada pemeriksaan tergempar dilakukan oleh pengawas sekolah, kebetulan, pengawas datang memeriksa beg saya, mereka terjumpa majalah tersebut, saya tak mengaku sebab bukan saya yang bawa, saya dianiaya.
"Perkara ini sampai ke pengetahuan guru bernama Shahadan, dengan tindakan bijaknya, individu sebenar dapat ditangkap.
“Dari situ lama kelamaan saya kagum dengan sikap Cikgu Shahadan, melihat kepada kejadian tersebut, beliau tidak terus melulu menuduh, bahkan mencari jalan penyelesaian yang pada saya cukup bijaksana,” katanya kepada Sinar Harian.
Azran kemudiannya mendaftar kelas agama Islam di sekolah untuk mempelajari selok-belok agama Islam.
"Alhamdulillah saya diterima. Masa belajar mata pelajaran agama Islam saya tumpukan sepenuhnya, lalu saya mendaftar subjek agama Islam sebagai antara subjek untuk peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)," katanya.
Menurutnya, ketika itu dia sedikit demi sedikit mula mempelajari agama Islam dari segi aspek pemakanan dan juga puasa.
“Masih terkenang lagi, ketika Ramadan, keluarga agak pelik dengan kelakuan saya, lewat petang baru saya makan.
“Daging khinzir memang saya sedaya upaya cuba untuk elakkan, kalau terpaksa makan pun, selepas itu saya akan ke bilik air dan memuntahkannya kembali,” katanya.
Katanya, keluarganya tidak mengambil kisah mengenai perubahannya sehingga dia membawa slip mendaftar menduduki SPM untuk ditandatangani ayah.
“Ayah pelik apabila saya bakal menduduki sembilan mata pelajaran sedangkan abang serta kakak hanya lapan sahaja.
“Dia kemudiannya ke sekolah untuk bertanyakan hal sebenar, marahnya bukan kepalang apabila tahu saya mengambil subjek agama Islam dan cuba untuk mendalami agama Islam," katanya.
Katanya, bermula dari situ, setelah berdepan dengan pelbagai tekanan, dia terpaksa keluar daripada rumah.
"Saya dalam keadaan hilang arah ketika itu, manakan tidak, terpaksa meninggalkan keluarga, namun bagi saya itu merupakan satu cabaran yang perlu saya hadapi,” katanya.
Biarpun berdepan dengan pelbagai rintangan, apa yang penting dia dapat mencari cahaya kebenaran yang didambakan selama ini.
“Ketika melafazkan syahadah, saya rasakan diri ini seolah-olah dilahirkan semula, diibaratkan seperti bayi yang baru dilahirkan, ketenangan yang saya rasakan hanya ALLAH sahaja yang tahu perasaannya.
“Walaupun ayah sudah tiada, namun saya bersyukur kerana keluarga akhirnya dapat menerima semula kehadiran saya, namun jauh di sudut hati, saya berdoa supaya nur Islam akan terpancar di hati mereka,” katanya.
Kini, 23 tahun sudah berlalu, Azran giat dalam mengusahakan perniagaannya sendiri serta terlibat aktif dalam beberapa pertubuhan NGO antaranya Malaysian Chinese Muslim Association (MACMA) serta NGO My Ikut yang merupakan NGo yang terlibat aktif dalam menganjurkan aktiviti kepada saudara baru.
Sumber: Sinar Harian