Gambar Hiasan |
Gara-gara kontroversi yang melanda badan tersebut berkenaan dengan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mengambil keputusan mengadakan solat hajat bagi memohon petunjuk Allah SWT di Putrajaya, semalam.
Solat tersebut diimamkan oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Zakaria Jaafar selepas solat Zohor. Ia disertai kira-kira 100 kakitangan di bangunan badan tersebut.
Antara doa yang dipohon adalah supaya mereka diberi kekuatan untuk melaksanakan tugas sebaik mungkin:
“Kami memohon kepadaMu ya Allah, berilah kekuatan kepada kami untuk melaksanakan tugas dengan sebaik-baik mungkin.”
Selain itu, Zakaria turut memohon agar para pegawainya mampu melakukan tugas memerangi rasuah dengan lancar supaya ia tidak memusnahkan negara.
“Jauhilah kami dari perbuatan mungkar, berilah kekuatan kepada pejuang-pejuang rasuah ini supaya mereka dapat menyelamatkan diri dan keluarga mereka, organisasi, masyarakat terutamanya negara yang kami kasihi ini daripada dicerobohi perbuatan orang yang mengamalkan rasuah,” doanya lagi.
Biarpun melakukan tugas secara bebas tanpa sebarang pengaruh mana-mana pihak, ramai pihak termasuk warga netizen yang terpengaruh untuk berburuk sangka, mempermainkan pihak berkuasa itu , malah ada yang menganggap mereka berpihak pada kerajaan.
Sumber foto: The Malaysian Insider |
SPRM baru-baru ini memberitahu hasil siasatan mereka bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak mengambil wang dari 1MDB.
Gara-gara menyatakan kebenaran dari hasil siasatan mereka, pihak tertentu khususnya pembangkang bertindak memburukkan imej SPRM hingga berjaya mempengaruhi segelintir rakyat di negara ini.
Selain SPRM, beberapa badan bebas lain seperti Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) turut pernah menjadi mangsa pesepsi buruk berkenaan. -Kedahnews.com