Doktor Perkenal Saya Pada PAS, Tiba-Tiba Mahu Ajak Saya Ke Jalan Sesat?


KUALA LUMPUR – Ketua Dewan Himpunan Penyokong PAS, N.Balasubramaniam mendedahkan beliau dipujuk oleh pemimpin Gerakan Harapan Baru (GHB) supaya meninggalkan pas untuk menyertai pertubuhan itu.

Balasubramaniam memaklumkan, bekas pemimpin PAS yang memujuk beliau supaya menyertai GHB ialah bekas Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang, Dr. Hamzah Jaafar.

“Hari ini Hamzah sudah jadi orang nombor satu dalam GHB. Bahkan dia menelefon saya untuk mengajak saya keluar daripada PAS dan menyertai GHB.

“Saya jawab, doktor yang perkenalkan PAS kepada saya. Tiba-tiba doktor mahu ajak saya ke jalan yang sesat,” katanya dalam satu kenyataan media baru-baru ini.

Sehubungan itu, Balasubramaniam menyelar Hamzah yang pernah diberi penghormatan bertanding pilihan raya sebanyak tiga kali tetapi sanggup mengkhianati PAS.

Menurutnya, beliau yang tidak pernah bertanding. dan tidak pernah pun kepada PAS untuk bertanding tetap bersama dengan pimpinan ulama parti itu.

Beliau turut membidas bekas Timbalan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa yang kini Pengerusi GHB kerana membawa Islam baharu dikenali sebagai GHB.

Katanya, Mujahid sebelum ini marah kepada konsep Islam Hadhari kerana pada beliau Islam hanya satu sahaja tiada yang lain tetapi hari ini Mujahid cuba membawa Islam baharu kepada masyarakat yang diberi nama Islam Progresif.

Beliau dalam pada itu mendakwa belajar banyak tentang Islam daripada para ulama selepas menyertai PAS.

Justeru, katanya, beliau kesal kerana ada bekas pemimpin PAS mempertahankan DAP, menghentam Presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan menyokong Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.