Mufti Perlis, Prof Madya Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin. |
ALOR SETAR – Satu aliran yang terkenal yang dikatakan gemar mengkafirkan umat Islam lain yang dikenali sebagai "Ahbash" sedang meresap masuk ke negara ini, dakwa Mufti Perlis, Prof Madya Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin.
Dr Asri mendakwa, aliran yang dibawa masuk oleh pelajar Malaysia yang belajar di Lebanon tersebut sedang hebat menuduh umat Islam lain di negara ini bukan Ahlul Sunnah wal Jamaah, wahabi dan sebagainya.
“Menariknya mereka ini mengada-adakan cerita kononnya musuh-musuh mereka itu pula yang suka mengkafirkan.
“Mereka ini di seluruh dunia berlindung dengan memakai secara palsu jenama Ahlus Sunnah Wal Jamaah. Bahkan kadang-kala menubuhkan badan atau organisasi dengan memakai nama Ahlus Sunnah Wal Jamaah,” dakwanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Berdasarkan sumber, "Ahbash" adalah aliran atau puak yang berpusat di Lebanon yang diasaskan oleh seorang lelaki Habsyi atau Afrika yang dikenali dengan nama Abdullah al-Harari.
Golongan tersebut mendakwa sebagai Ahlul Sunnah Wal Jamaah sejati dan sesiapa yang berbeza pendapat dengan mereka menjadi sesat atau kafir.
Selain itu, Mohd. Asri yang juga dikenali sebagai Dr. Maza turut mendakwa antara ciri-ciri penganut fahaman Ahbash menjadikan perbezaan pendapat sebagai sebab untuk kafir mengkafir, suka kepada pertumpahan darah umat Islam dan menghasut penganut Ahlul Sunnah wal Jamaah supaya mempercayai mereka.
“Golongan Ahbash ini menghasut secara palsu dan jahat dengan mengubah fakta, maklumat dan mengubah konteks ayat pihak yang mereka musuhi lalu diberikan kepada sebahagian umat Islam yang boleh ditipu oleh mereka.
“Mereka membuat kenyataan-kenyataan musuh mereka secara palsu ataupun dalam konteks yang salah dengan tujuan untuk mereka mengkafirkan,” dakwa beliau. - Kedahnews.com