Dr Subramaniam Presiden MIC Baru, Menang Tanpa Bertanding


KUALA LUMPUR – Datuk Seri Dr S.Subramaniam menang tanpa bertanding bagi jawatan Presiden MIC untuk pemilihan semula penggal 2013-2016, selepas proses penamaan calon ditutup semalam.

Keputusan itu diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan, Datuk B.Sagadevan selepas proses pencalonan yang dianjurkan Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) Interim 2009 selama dua jam di ibu pejabat parti itu di sini, ditutup 6.30 petang tadi.

Dr Subramaniam, yang merupakan bekas timbalan presiden MIC sejak 2010 dan kemudiannya pemangku presiden MIC, menerima 450 pencalonan untuk jawatan nombor satu parti merangkumi 2,700 daripada 2,843 cawangan.

Pengumuman itu disambut dengan sorakan dan laungan kuat daripada lebih 2,000 penyokong dan perwakilan yang berkumpul di ibu pejabat MIC.

Sebelum ini, CWC Interim 2009 pada 24 Julai lepas mengumumkan pencalonan untuk jawatan presiden akan diadakan hari ini manakala pemilihan pula pada 6 Sept ini.

Menurut perlembagaan parti, calon yang mahu bertanding jawatan nombor satu dalam parti mesti menjadi pengerusi cawangan dan mendapat 50 pencalonan dan setiap pencalonan perlu mempunyai seorang pencadang dan lima penyokong.

Kemenangan Menteri Kesihatan itu, bagaimanapun dijangka akan menghangatkan lagi krisis parti berusia 68 tahun itu berikutan bekas presiden Datuk Seri G.Palanivel pada 9 Ogos lalu turut diumumkan sebagai presiden parti dalam penamaan calon oleh penyokongnya. – BERNAMA