Empat Maut Dalam Kejadian Ribut Kencang Di Pulau Pinang

Anggota Polis dan Bomba mengeluarkan mayat lelaki yang mati ditimpa batu berikutan pokok tumbang ke atas bangunan lama di Lorong Perak ekoran ribut yang melanda petang tadi. - Foto BERNAMA
BUKIT MERTAJAM – Tiga orang pekerja Myanmar maut akibat dihempap dinding sebuah kilang yang dalam pembinaan dalam kejadian hujan ribut di Bukit Minyak di sini semalam.

Dalam satu lagi kejadian, seorang warga emas turut maut selepas dihempap batu ketika dia cuba menyelamatkan diri daripada pokok tumbang di sebuah bangunan lama di Lorong Perak, Georgetown.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, ACP Rusli Mohd Noor berkata dalam kejadian di Bukit Minyak, para pekerja berkenaan sedang bekerja membina dinding kilang sebelum ribut dan hujan lebat berlaku sehingga menyebabkan dinding itu runtuh dan menghempap mereka.

“Seorang lagi pekerja Myanmar dalam kumpulan itu mengalami kecederaan dan dihantar ke hospital,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata identiti ketiga-tiga mangsa yang berusia antara 20 hingga 30 tahun belum dikenal pasti.

Dalam kejadian di Georgetown, Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Mior Faridalatrash Wahid berkata mangsa Lim Chong Leong, 59, meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala.

Dalam kejadian pukul 5.15 petang itu, mangsa dikatakan berteduh di bangunan lama berkenaan berikutan hujan lebat sebelum dihempap batu besar ketika dia cuba menyelamatkan diri selepas berlaku pokok tumbang.

Kejadian ribut turut menyebabkan ratusan pokok tumbang di beberapa kawasan seperti Kepala Batas, Teluk Air Tawar, Butterworth, Permatang Rawa, Bukit Mertajam, Machang Bubok, Permatang Pauh, Alma, Bukit Minyak, Simpang Ampat, Nibong Tebal, Jelutong, Relau dan George Town.

Jurucakap bomba dan penyelamat berkata kejadian turut menyebabkan puluhan rumah tercabut bumbung.

Antara kawasan yang terlibat ialah Bandar Perda; Taman Sejahtera Indah, Teluk Air Tawar; Jalan Bukit Panchor Indah; Taman Markisa, Bukit Minyak; Permatang Tok Gelam; Gelung Bubu, Sungai Dua; dan Jalan Sungai Puyu.

Turut dilaporkan beberapa buah khemah di rumah terbuka Aidilfitri anjuran Anggota Dewan Undangan Negeri Teluk Air Tawar, Datuk Jahara Hamid turut diterbang angin. – BERNAMA