Bade Azmi |
AMPANG - Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, di sini pada Isnin terpaksa mengeluarkan notis amaran terakhir terhadap Bade Azmi selepas pengarah filem itu pada Isnin gagal hadir dalam kes permohonan cerai yang dibuat isterinya, Erma Fatima.
Keputusan itu dibuat oleh Hakim Syarie Shaiful Azli Jamaludin selepas peguam syarie yang mewakili Erma iaitu Jamal Lokman Mohd Sulaiman memohon agar pihak mahkamah tidak mengeluarkan waran tangkap dan mahkamah bersetuju hanya notis amaran dikeluarkan terhadap Bade.
"Plaintif meminta agar tidak dikeluarkan waran tangkap terhadap defendan dan ingin memberinya peluang untuk hadir pada sebutan seterusnya," ujar Jamal Lokman.
Erma atau nama sebenarnya Fatimah Rahmad turut tidak hadir pada sebutan kes tersebut.
Shaiful Azli menetapkan kes berkenaan disambung pada 27 Ogos depan.
Bade atau nama sebenarnya Badaruddin Azmi, 51, pada sebutan pertama kes berkenaan pada 11 Jun lalu turut gagal menghadirkan diri atas alasan tidak mengetahui permohonan dibuat Erma.
Erma Fatima (kanan) dan Bade |
Sementara itu, Jamal Lokman ketika ditemui pemberita memberitahu dia tidak mengetahui secara jelas punca sebenar kegagalan defendan menghadirkan diri.
"Saya cuma dimaklumkan defendan berada di luar kawasan.
"Harap beliau dapat hadir pada sidang akan datang untuk memberitahu mahkamah sama ada bersetuju atau tidak dengan tuntutan dibuat plaintif," jelasnya.
Pasangan itu bernikah pada 30 November 1990. Mereka memiliki lima anak angkat iaitu Syamil Ikhwan, 22, Ahmad Arir, 20, Ahmad Aifin, 18, Citra, 13 dan Nurain berusia sembilan tahun.
Bagaimanapun pada awal 2014, Bade telah berkahwin dengan wanita bernama Aida berasal dari Pahang.
Hasil perkahwinan itu mereka mendapat anak lelaki hujung tahun lalu yang bernama Jihad, berusia enam bulan.
Terdahulu dalam satu temubual sebelum ini Erma dan Bade menafikan akan bercerai. Bade sebaliknya berkata dia masih sayangkan Erma.
Erma pula berkata dia boleh menerima hakikat hidup bermadu.