Fatwa Mengenai Perkahwinan Kanak-Kanak Di Malaysia

Gambar Hiasan
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-106 yang bersidang pada 21 - 22 Oktober 2014 telah membincangkan Isu Perkahwinan Kanak-kanak: Kajian Dari Aspek Agama, Kesihatan dan Psikologi. Muzakarah telah membuat keputusan seperti berikut:

1. Setelah mendengar pembentangan dan meneliti laporan penyelidikan yang telah disediakan oleh Kumpulan Penyelidik daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan meneliti fakta-fakta, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah bersetuju menerima dan memperakukan hasil penyelidikan yang telah dikemukakan.

2. Berdasarkan hasil penyelidikan tersebut, Muzakarah mendapati bahawa:

Isu berkaitan perkahwinan kanak-kanak bukan satu isu baharu di Malaysia dan ia tidak lagi dilihat sebagai satu amalan yang ‘sihat’ pada masa ini. Perkahwinan baginda Rasulullah SAW dengan Saidatina Aisyah RA tidak wajar dijadikan alasan untuk memudahkan perkahwinan kanak-kanak. 

Syeikh Abdullah al-Manie, seorang daripada anggota Majlis Ulama Kanan Saudi juga berpandangan bahawa perkahwinan antara Rasulullah SAW dengan Sayidatina Aisyah RA tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk mewajarkan perkahwinan gadis bawah umur.

Walaupun terdapat peruntukan undang-undang yang membenarkan perkahwinan kanak-kanak di negara ini, tetapi ia tidak bermakna perkahwinan ini boleh dilakukan dengan mudah tanpa melihat kepada kemaslahatan kanak-kanak yang ingin dikahwinkan.

Kajian mendapati statistik permohonan dan perkahwinan kanak-kanak di negara ini semakin meningkat dan kesan akibat daripada perkahwinan ini lebih banyak mendatangkan keburukan daripada kebaikan terutama dari aspek kesihatan dan psikologi kanak-kanak terbabit.

Kebanyakan perkahwinan kanak-kanak ini berlaku akibat didorong oleh rasa cinta kepada pasangan yang tidak mampu dikawal sehingga mendorong berlakunya penzinaan serta kehamilan luar nikah.

Dapatan kajian menunjukkan bahawa faktor perkahwinan kanak-kanak di Malaysia berlaku bukan kerana maslahah tetapi disebabkan keterlanjuran dan keinginan menutup aib atau maruah keluarga yang tercemar.

Keterangan pakar-pakar kesihatan dan psikologi menegaskan wujudnya masalah kesihatan fizikal dan mental yang dialami pada pasangan perempuan akibat perkahwinan kanak-kanak.

3. Berdasarkan dapatan kajian tersebut, Muzakarah menegaskan bahawa para ulama bersetuju bahawa secara syarie, perkahwinan kanak-kanak bukan merupakan perkara yang wajib atau sunat. 

Tiada hadis yang menyatakan bahawa perkahwinan kanak-kanak itu dianjurkan. Perkahwinan pada zaman Rasulullah saw yang dilakukan oleh para sahabat lebih kepada menjaga kemaslahatan kanak-kanak. Ia termasuk dalam perkara harus tetapi hukumnya tertakluk kepada ketentuan Maqasid Syariah dan Kaedah Fiqhiyyah iaitu “Menjauhi Kerosakan” (Dar’ al-Mafasid) serta “Mengambil Maslahat” (Jalb al-Masalih).

4 Sehubungan itu, berasaskan nas-nas Syarak dan Kaedah-kaedah Fiqhiyyah serta keterangan pakar-pakar kesihatan dan psikologi, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa perkahwinan kanak-kanak hanya boleh dibenarkan dengan syarat ia dilakukan semata-mata untuk memenuhi kemaslahatan kanak-kanak tersebut secara syarie.

5 Muzakarah juga bersetuju memutuskan supaya pihak-pihak berkuasa berkaitan memperketatkan syarat-syarat perkahwinan kanak-kanak dan memastikan pelaksanaannya dijalankan mengikut prosedur.

Sumber: e-Fatwa Jakim