GAMBAR: 5 Jalan Raya Paling Sempit Di Dunia

Gambar Hiasan
Jika kita berada di bandar raya Melaka atau George Town, mungkin sudah biasa melihat jalan raya yang begitu sempit tinggalan bekas penjajah sehingga hanya boleh dilalui sebuah kereta kecil.
Secara teknikal sebidang tanah baharu hanya boleh digelarkan sebagai jalan raya, jika ia memenuhi kriteria fungsi sebagai laluan prasarana awam untuk sebarang jenis pengangkutan darat.
Pada kebiasaannya sesebuah jalan raya mempunyai ukuran panjang dan lebar yang minimum sebelum ia boleh didaftarkan sebagai jalan secara rasmi oleh pihak berkuasa tempatan.
Ada juga beberapa buah jalan yang langsung tidak mampu memenuhi semua ciri-ciri asas tersebut, namun aneh ia tetap juga berdaftar dengan rasmi sebagai sebatang jalan raya.
Dalam laporan ini, kami bawakan beberapa jalan raya yang memegang rekod sebagai paling sempit di dunia dan dipetik daripada portal terkenal Indonesia, merdeka.com.
Spreuerhofstrasse, Jerman
Sebenarnya lebih tepat kalau menyebut Spreuerhofstrasse sebagai lorong, dan bukan jalan. Ini kerana jalan di bandar Reutlingen yang terletak di Jerman, memang lebih mirip kepada lorong yang sempit.
Portal berita antarabangsa Amusing Planet baru-baru ini pernah melaporkan, panjang jalan raya ini cuma 3.8 meter sahaja! Lebarnya pula hanya daripada 31 hingga 40 sentimeter.
Dengan kesempitannya, jalan tersebut hanya boleh dilalui oleh satu orang sahaja, pada satu-satu masa tetapi atas sebab itu, Spreuerhofstrasse dinobatkan sebagai jalan tersempit oleh Rekod Dunia Guinness.
Parliament Street, England
Sebelum diambil alih oleh Spreuerhofstrasse, rekod jalan raya paling sempit di dunia berjaya dipegang oleh Parliament Street di England, Britain.
Terletak di pusat bandar Exeter, jalan tersebut sepanjang 50 meter sahaja, dengan kelebaran berukuran daripada sekecil 0.64 sehingga sebesar 1.2 meter.
Jalan sempit yang agak terpencil itu dibina pada abad ke-14. Dahulu, ia diberi nama “Small Lane” yang bermaksud lorong kecil, sebelum berganti nama pada tahun 1832.
Fan Tan Alley, Kanada
Fan Tan Alley merupakan jalan raya yang paling sempit di Kanada, dan lucunya ia sebuah negara kedua paling besar di dunia selepas Rusia.
Ia boleh dikatakan tersembunyi antara Government Street dan Store Street. Lebar paling minimum jalan itu mencapai hanya 89 sentimeter!
Pada masa lalu, Fan Tan Alley adalah daerah yang terkenal sebagai pusat perjudian dan pelbagai deretan bar candu di Chinatown Victoria.
Menurut laman rasmi Chinatown Victoria, nama Fan Tan Alley malah diambil daripada nama permainan judi yang popular di sana pada masa itu.
Strada Sforii, Romania
Dengan ukuran sepanjang 80 meter dan selebar antara 111 hingga 135 sentimeter, Strada Sforii adalah jalan raya yang paling sempit di Romania.
Laluan purba ini terletak dekat Schei Gate di bandar raya Brasov, kira-kira 166 kilometer ke utara ibu negara Bucharest. Jalan itu sebenarnya sebuah koridor yang biasa digunakan anggota bomba.
Namun kini ia lebih popular sebagai lokasi pelancongan terkenal dan para pelawat asing biasanya berkunjung ke jalan raya tersebut apabila datang ke Brasov.
Marten Trotzigs Grand, Sweden
Marten Trotzigs Grand terletak di ibu kota Sweden, iaitu Stockholm yang memang terkenal dengan pelbagai bangunan warisan sejarah.
Ia mempunyai kelebaran yang tidak melebihi daripada 90 sentimeter, menjadikannya jalan raya tersempit di negara rantau Skandinavia itu.
Nama Marten Trotzigs Grand diambil daripada seorang ahli perniagaan yang membeli hartanah di lorong itu pada abad ke-16. – Kedahnews.com